Warga kota serbu lemang popular

Orang beratur panjang bagj mendapatkan Lemang Kemensah.
Orang beratur panjang bagj mendapatkan Lemang Kemensah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi lemang popular sesak daripada biasa selepas diserbu warga kota.

Antara yang menjadi tumpuan termasuk Lemang Kemensah Hulu Kelang dan Lemang Daun Lerek Greenwood.

Menerusi laman sosial Facebook dikongsikan beberapa video keadaan orang awam beratur panjang menunggu giliran mendapatkan juadah wajib musim perayaan itu.

Pekerja Lemang Daun Lerek Greenwood, Puteri Kama Dawana Kamaruzaman, 28, berkata, keadaan sangat sibuk pada malam raya dan kini kembali surut dan terkawal.

Menurutnya, pada minggu raya, pihaknya tidak menerima mana-mana tempahan secara dalam talian (pick up/delivery) pada minggu raya dan pembelian dibuat secara 'walk-in' di kedai dengan had empat batang lemang bagi setiap pelanggan.

"Sebanyak 1,000 batang lemang dijual pada malam raya dan kami hadkan pembelian empat batang lemang bagi setiap pelanggan bagi memastikan tempoh beratur semua pelanggan tidak terlalu lama dan semua pelanggan tidak pulang dengan tangan kosong," katanya.

Katanya, 1,000 lemang akan dibakar setiap hari pada musim perayaan dan jumlahnya akan ditambah bergantung kepada jumlah pekerja.

Ujarnya, setakat ini, seramai 15 orang bekerja di Lemang Daun Lerek Greenwood yang telah beroperasi selama 20 tahun.

Sementara itu pemilik Lemang Kemensah, Junaidah Mat Zin, 58, berkata, lebih 4,000 batang lemang terjual pada malam raya dengan orang beratur panjang sejauh 200 meter.

Orang beratur panjang bagj mendapatkan Lemang Kemensah.
Orang beratur panjang bagj mendapatkan Lemang Kemensah.

Mengambil pengajaran daripada tahun lalu, penjualan lemang pada tahun ini lebih teratur dengan mengambil tempahan mengikut kemampuan.

"Kami tidak buka tempahan terlalu banyak dan ditutup 15 hari sebelum hari raya manakala pelanggan yang datang secara walk-in kami hadkan pembelian tiga batang setiap pelanggan bergantung kepada stok.

"Sebanyak dua dapur digunakan bagi membakar 400 lemang dalam satu masa selama 1 jam 30 minit dengan seramai 45 pekerja bertungkus-lumus menyiapkan tempahan pelanggan pada musim raya," katanya.

Katanya lagi, kuantiti lemang yang dibakar setiap hari bergantung kepada bekalan santan dan buluh serta waktu operasi bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.