X

Kindly register in order to view this article
!

AS kembali campur tangan konflik Asia Barat

Kapal pengangkut Nimitz tersebut mempunyai lebih 6,000 kru dan membawa kira-kira 90 helikopter dan pesawat sayap tetap. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) didakwa kembali campur tangan dalam konflik di Asia Barat selepas ia menggerakkan semula kumpulan kapal pengangkut pesawat ke Teluk.

Langkah itu dibuat selepas ketegangan kembali meningkat di rantau terbabit susulan pembunuhan saintis nuklear terkemuka Iran, Dr Mohsen Fakhrizadeh kelmarin.

Semalam, jurucakap Armada Kelima AS, Komander Tentera Laut, Rebecca Rebarich bagaimanapun menafikan keputusan itu dibuat kerana ‘ancaman’ yang diterima berikutan Teheran berikrar untuk menuntut bela atas kematian Fakhrizadeh yang dipercayai didalangi oleh Israel dan sekutu kuatnya, AS.

“Tidak ada ancaman khusus yang menyebabkan Kumpulan Penyerang Pengangkut Nimitz digerakkan kembali ke Teluk. Ia adalah sebagai mengekalkan keupayaan Pusat Perintah AS (CENTCOM) dan persediaan untuk membantu mengekalkan kestabilan dan keselamatan rantau terbabit,” ujarnya.

Terdahulu, Pentagon memaklumkan flotila diketuai kapal berkuasa nuklear, USS Nimitz itu akan menyediakan sokongan udara dan pertempuran selepas ribuan anggota tentera AS dipanggil pulang dari Iraq dan Afghanistan menjelang pertengahan Januari depan.

Konflik baharu di Asia Barat itu telah menyebabkan PBB menggesa pihak bertelagah supaya menghindarkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi situasi di rantau terbabit.

“Kami mengecam sebarang bentuk pembunuhan atau perbuatan membunuh di luar kuasa undang-undang,” tegas jurucakap badan antarabangsa itu merujuk kepada serangan bersenjata dan letupan bom yang telah meragut nyawa Fakhrizadeh di bandar Absard.

Turki juga senada dengan PBB dan menyifatkan kejadian pembunuhan Fakhrizadeh sebagai tindakan keganasan dan mengganggu keamanan di rantau Asia Barat.

“Kami mengecam pembunuhan keji ini dan menzahirkan ucapan takziah kepada pemerintah Iran dan keluarga mangsa,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Difahamkan, jenazah beliau akan disemadikan pada hari ini yang akan turut dihadiri komander tentera dan keluarganya, namun lokasi pengebumiannya dirahsiakan. - AFP

-----------------

Siapa Dr Mohsen Fakhrizadeh?

Dilahirkan di Qom pada 1958 dan merupakan Timbalan Menteri Pertahanan dan Brigadier Jeneral Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Memiliki ijazah kedoktoran kejuruteraan dan pensyarah di Universiti Imam Hussein di Iran.

Pakar Barat percaya Fakhrizadeh yang digelar sebagai ‘bapa program nuklear Iran’ memainkan peranan penting dalam program pengayaan uranium dan pembangunan misil balisitik Iran.

Beliau diberikan ‘perlindungan yang tinggi’ oleh Teheran dan penyiasat nuklear PBB tidak diberikan akses untuk bersemuka dengan beliau susulan insiden pembunuhan empat saintis Iran yang juga terlibat dengan program nuklear dibangunkan negara itu.

Iran mengakui kewujudan beliau, namun menafikan penglibatannya dalam program nuklear negara itu.

Antara 2010 dan 2012, pembunuh upahan pernah menyasarkan lima saintis nuklear Iran, Dr Mostafa Ahmadi Roshan dan Dr Majid Shahriari yang maut selepas bom magnetik dipasang pada kereta mereka.

Ahli teori bidang kuantum, Dr Masoud Alimohammadi terbunuh selepas alat letupan dipasang pada motosikal diparkir di hadapan kediamannya meletup dan disusuli dengan kejadian ahli akademik, Dr Darioush Rezaeinejad maut ditembak lelaki bersenjata menaiki motosikal.

Bekas ketua atom, Dr Fereidoon Abbasi Davani bagaimanapun terselamat dalam cubaan serangan dilancarkan penyerang bermotosikal.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!