Wan Ahmad Fayhsal perlu ulang kaji sebelum mendabik dadak

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membidas kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang disifatkan terlalu mendabik dada.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata, Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya perlu membuat 'ulang kaji' sebelum dengan bangganya membuat kenyataan Bersatu telah melahirkan dua orang Perdana Menteri walau usia parti tersebut baharu setahun jagung.

"Bersatu tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri. Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri atas pengorbanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), Presiden Keadilan ketika itu ditawarkan jawatan Perdana Menteri oleh Yang di Pertuan Agong ketika itu dan akhirnya menolak tawaran tersebut atas prinsip berpegang kepada janji konsesus PH pada Januari 2018 untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Dr Mahathir.

"Tan Sri Muhyidin Yasin pula dipilih sebagai Perdana Menteri atas rundingan pintu belakang bersama parti-parti yang kalah pada PRU14. Ini kenyataan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairool berkata, Armada Bersatu perlu muhasabah diri dan belajar menghormati pengorbanan orang lain.

"Armada perlu sedar parti mereka bagaikan telur di hujung tanduk dan jika dijentik boleh jatuh terhempas dan berkecai.

"Pesanan terakhir buat Armada Bersatu, sila muhasabah diri. Menang pun atas dasar tumpang logo parti orang lain. PRU14 menjadi gambaran jelas Bersatu tamak mahu 51 kerusi tapi hanya menang 13 kerusi sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Ahmad Fayhsal ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga yang berlangsung secara maya semalam menyifatkan perjuangan Armada Bersatu merupakan kesinambungan perjuangan daripada pejuang terdahulu.

Antara lain, beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila parti itu berjaya melahirkan dua Perdana Menteri meskipun mereka baharu berusia setahun jagung.