X

Kindly register in order to view this article
!

SKMM bantu pelajar di Kampung Gusi dapatkan capaian internet

Pengarah SKMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Izani Othman (dua dari kanan) berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah (tengah) bagi mendapatkan gambaran mengenai kejadian yang menimpa ketiga-tiga pelajar berkenaan.
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil inisiatif untuk membantu pelajar di Kampung Gusi, Ranau mendapatkan rangkaian internet menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

SKMM dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan, pihaknya amat bersimpati dengan situasi menimpa tiga orang pelajar yang dilaporkan terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi baru-baru ini.

Bagi mengatasi masalah tersebut, SKMM berkata, pihak mereka telah telah mendapatkan sokongan daripada pihak Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT) selaku State Backed Company Sabah, anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi melalui teknologi VSAT.

“Inisiatif ini merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT dan pengurus besar CTT, Law Chun Ming mengesahkan pemasangan VSAT akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Disember ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, SKMM berkata, menara telekomunikasi juga akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Jendela.

“Lokasi-lokasi tersebut sudahpun dinyatakan di dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh SKMM pada 20 November lalu.

“Justeru, semua pelajar dinasihatkan untuk tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian internet,” katanya.

Sementara itu, SKMM berkata, pihak mereka juga sempat berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah untuk bertanyakan khabar mengenai keadaan pelajar berkenaan dan mendoakan agar mereka akan sembuh secepat mungkin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!