‘Tak pernah rasa kasih sayang mak, ayah’

Mohamed Shafei. Gambar kecil: Mohamed Shafei aktif berpengakap sejak zaman sekolah lagi.
Mohamed Shafei. Gambar kecil: Mohamed Shafei aktif berpengakap sejak zaman sekolah lagi.
A
A
A

"MEMBESAR di rumah anak yatim sejak usia setahun membuatkan saya memiliki jati diri dan keyakinan yang tinggi,” kata Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, 73.

Itu yang dikongsi pemimpin kesatuan pekerja itu kepada Sinar Ahad ketika ditemui di Pejabat UNI-MLC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di sebalik kehidupan yang tidak seindah orang lain ketika kecil, namun wajah bekas Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu tetap tenang berkongsi kisah hidupnya.

Mohamed Shafei berkata, ibu bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia setahun dan sejak itu beliau tinggal di rumah anak yatim.

“Saya hidup sebatang kara, tiada adik-beradik dan saudara mara untuk menumpang kasih. Selepas mak dan ayah meninggal dunia, saya dihantar ke rumah anak yatim di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selepas itu saya dihantar ke rumah anak yatim di Cheras, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke rumah anak yatim di Kuala Kangsar, Perak. Kemudian ke Pulau Pinang dan akhir sekali ke rumah anak yatim di Serendah, Selangor.

“Kisah hidup saya tidak seindah orang lain. Saya tidak sempat kenal mak dan ayah, tak pernah rasa kasih sayang serta belaian mereka kerana ALLAH SWT lebih menyayangi mereka. Malah maklumat mengenai mereka pun saya tak tahu, yang saya tahu mereka dari utara tanah air,” kongsinya.

Katanya, kehidupan di rumah anak yatim banyak membentuk jati dirinya, sekali gus meletakkan dirinya pada kedudukan hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Di rumah anak yatim di Serendah, kehidupan kami di situ serba-serbi sederhana manakala tenaga pengajar ketika itu pun sangat terhad.

“Namun itu bukan alasan untuk saya menjadi insan yang lemah, sebaliknya saya mahu menjadi manusia berguna. Dari situlah saya dapat membina diri kerana saya tahu ketika itu saya tiada siapa-siapa.

“Siapa lagi yang akan menolong kita kalau bukan diri kita sendiri. Waktu itu saya mula fikir kehidupan masa akan datang kerana tidak selamanya kita dapat tinggal di situ,” katanya.

Mohamed Shafei (kanan) bergambar dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohamed Shafei (kanan) bergambar dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Shafei berkata, ketika di zaman persekolahan, beliau sangat aktif dalam pasukan pengakap.

“Daripada situlah saya banyak belajar ilmu serta kemahiran hidup. Melalui pengakap, saya dapat mendisiplinkan diri serta cekal dalam menghadapi ujian melanda diri.

“Satu perkara atau aturan dalam pengakap yang saya ingat hingga hari ini ialah ‘seorang pengakap itu hendaklah sentiasa manis muka walaupun dalam kesusahan’.

“Pengakap jugalah yang banyak memberi motivasi kepada saya agar ‘Sentiasa Bersedia’ (Be Prepare) dalam apa juga keadaan. Sebab itu kalau orang tanya maksud BP pada nama saya, selain nama ayah, BP itu saya bermaksud Be Prepare. Falsafah ini saya pegang sampai bila-bila,” katanya.

Disebabkan aktif berpengakap, beliau pernah dianugerahkan Pengakap Diraja Pertama (PRDiraja/64) oleh Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada tahun 1964.

“Saya merupakan Pengakap Diraja Pertama yang menerima anugerah tersebut dan ia satu penghormatan kepada saya,” katanya sambil tersenyum.

Pada usia 17 tahun, Mohamad Shafei meninggalkan rumah anak yatim dan berhijrah untuk menari rezeki.

“Macam-macam kerja saya buat. Kerja di kedai buku, kedai makan dan kerja buruh am, semua saya buat demi kelangsungan hidup.

“Soal malu tolak tepi sebab kita kena sedar, kita tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Asalkan rezeki halal, saya buat sahaja,” katanya.

Nekad bela nasib pekerja

Kesusahan dan keperitan hidup yang dialami itu menjadi pemangkin untuk beliau berusaha bersungguh-sungguh mencapai impian hidupnya.

Katanya, kerjayanya dalam kesatuan yang memperjuangkan nasib pekerja bermula ketika bekerja di syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Berhad.

“Pada tahun 1968, saya diterima masuk bekerja di Telekom sebagai buruh am. Ketika itu, saya mula nampak ada berlaku unsur penindasan terhadap pekerja. Contohnya pekerja yang bekerja lebih masa tidak dibayar gaji yang sepatutnya.

“Saya mula menjadi ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Malaysia (NUTE) sebelum dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa sehinggalah pada tahun 1979, saya dilantik sebagai Presiden NUTE yang ketika itu mempunyai lebih 20,000 orang ahli di seluruh Malaysia,” katanya.

Mohamed Shafei (dua dari kiri) menerima cenderahati ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali ke-11 Kesatuan Pekerja Telekom Malaysia Berhad Sawarak (UTES) pada tahun 2018.
Mohamed Shafei (dua dari kiri) menerima cenderahati ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali ke-11 Kesatuan Pekerja Telekom Malaysia Berhad Sawarak (UTES) pada tahun 2018.

Mohamed Shafei berkata, ketika itu juga beliau berdepan cabaran paling besar apabila kerajaan memutuskan untuk menswastakan Telekom Malaysia (TM).

“NUTE bekerjasama dan berbincang dengan kerajaan mengenai masa depan pekerja. Kita adakan rundingan sebab merasakan pelaksanaan penswastaan itu dibuat dengan terburu-buru. Malah banyak perkara melibatkan pekerja ketika itu tidak jelas.

“Kita turut menganjurkan piket di seluruh negara bagi membantah keputusan Kumpulan TM ke atas tatacara pemberian Tawaran Skim Opsyen Saham Kakitangan (ESOS) kerana dilihat tidak adil apabila tiada cadangan telus terhadap cara pembahagian ESOS selain kabur dan mengelirukan,” katanya.

Disebabkan kejadian itu, beliau disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana didakwa mencetuskan huru-hara dan mengancam keselamatan awam.

Bagaimanapun beliau gembira perkara itu dapat diselesaikan sebaik mungkin apabila kerajaan memberi beberapa pilihan kepada pekerja terbabit.

Mohamed Shafei berkata, bukan mudah untuk menjadi pemimpin kesatuan pekerja kerana memerlukan kesungguhan dan keberanian.

PROFIL

Nama: Datuk Mohamed Shafei BP Mammal

Tarikh lahir: 30 Januari 1947

Umur: 73

Asal: Utara tanah air

Pengalaman:Presiden Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)

Setiausaha Majlis Kesatuan Sekerja Perkhidmatan ASEAN (ASETUC)

Bekas Timbalan Presiden MTUC

Bekas Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)