Atasi banjir, pencemaran di Pasir Gudang

Hassan menunjukkan lokasi tebing sungai yang runtuh hingga mengakibatkan aliran air sempat lalu banjir di Kampung Sungai Rinting D, Pasir Gudang hari ini.
Hassan menunjukkan lokasi tebing sungai yang runtuh hingga mengakibatkan aliran air sempat lalu banjir di Kampung Sungai Rinting D, Pasir Gudang hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Masalah banjir dan pencemaran alam sekitar di daerah ini perlu diatasi sesuai dengan statusnya yang dinaik taraf sebagai Bandaraya Pasir Gudang pada 22 November lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) perlu berbincang serta mencari penyelesaian masalah yang sudah berlarutan itu.

Beliau turut memberi contoh banjir berpunca dari Sungai Rinting yang mengakibatkan kawasan sekitar Kampung Sungai Rinting D termasuk Lebuhraya Pasir Gudang ditenggelami air hampir satu meter.

"Kebetulan banjir di kawasan tersebut berlaku pada hari yang sama Pasir Gudang diisytiharkan sebagai Bandaraya Pasir Gudang. Bagi mengatasi masalah ini, kita akan atasinya dengan pelan jangka pendek dan panjang.

"Bagi jangka pendek, kita akan melebarkan laluan air Sungai Rinting kerana tebingnya sudah runtuh manakala untuk jangka panjang, kita akan bina tebatan atau tebing konkrit pada kiri dan kanan tebing sungai," katanya selepas melawat kawasan banjir dan meninjau Sungai Rinting di kampung itu di sini hari ini.

Menurutnya, masalah tersebut perlu diatasi segera bagi mengelakkan kediaman penduduk dan lebuh raya mengalami kerosakan lebih teruk.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Masai, Ramdhan Saian, 65, berkata, seramai 146 penduduk dari 21 keluarga di kampung itu terpaksa berdepan banjir kilat akibat tebing penahan Sungai Rinting berdekatan kediaman runtuh.

Menurutnya, air sungai melimpah apabila hujan lebat dan air pasang kerana kedudukan kawasan tersebut hanya kira-kira dua kilometer dari Selat Terbrau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan rumah penduduk yang berdekatan tebing sungai banjir dengan kedalaman hampir satu meter dan biasanya bencana alam tersebut berlaku dua kali setahun.

"Minggu lalu banjir kilat paling buruk berlaku di kampung ini. Pada tahun 80-an pernah berlaku banjir lumpur tetapi selepas tempoh itu kampung ini tidak pernah banjir sehingga berulang semula kira-kira lima tahun lalu.

"Punca banjir disebabkan laluan sungai terdapat tembok batu penghalang tebing ini runtuh kedua belah kiri dan kanan. Runtuhan bukan terjadi dalam satu masa," katanya.

"Runtuhan tebing menghalang laluan air sungai. Laluan air sungai di kawasan tembok runtuh itu hanya sebesar parit sebab itu air melimpah ke tebing kerana tidak dapat mengalir lancar," katanya.