Tangguh buka sempadan Malaysia-Singapura

Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
A
A
A

PONTIAN - Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura ditangguhkan berikutan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, tumpuan ketika ini untuk mengawal penularan kes positif Covid-19 di negeri ini dengan beberapa daerah terpaksa menjalani kuarantin termasuk agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Menurutnya, kerajaan negeri mahu membuka sempadan secepat mungkin kerana ekonomi Johor bergantung kepada negara jiran.

"Apabila kes meningkat, usaha membuka sempadan terpaksa ditangguhkan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Kali ke-43 di Rumah Citra Sri Pinang, Benut di sini semalam.

Sehingga semalam, sebanyak 1,209 kes Covid-19 dilaporkan di negeri ini serta 12 kluster aktif dengan yang terbaru Kluster Gemilang melibatkan sebuah syarikat logistik di Johor Bahru.

Sempadan Malaysia-Singapura mula ditutup sejak 18 Mac lalu apabila Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 namun dibuka untuk skim pertama dan kedua pada 17 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan buka pintu sempadan Malaysia-Singapura dirunding

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, proses kuarantin bermula di Kota Tinggi disusuli daerah lain termasuk dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Artikel Berkaitan:

Hasni bagaimanapun berterima kasih dengan keputusan kerajaan Pusat untuk melaksanakan PKPB secara bersasar di negeri ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan program bakul makanan bagi rakyat Malaysia di Singapura akan dimulakan dalam waktu terdekat dengan menyasarkan mereka yang benar-benar terkesan.

"Pada peringkat awal, kita akan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada individu yang 'berehat sebentar' di jalanan sebelum kembali bekerja keesokan harinya.

"Inisiatif ini selain bagi meringankan beban mereka juga merupakan satu bentuk penghargaan atas kegigihan mereka terus bekerja bagi menyara kehidupan keluarga," ujarnya.

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad