Kembara Prihatin bawa mesej kemasyarakatan

Mohd Zawawi dan Hazlina bergambar bersama ahli kelab Anita Bikers dan JKBC serta warga Darwa.
Mohd Zawawi dan Hazlina bergambar bersama ahli kelab Anita Bikers dan JKBC serta warga Darwa.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua komuniti peminat motosikal berkuasa tinggi iaitu Anita Bikers Club dan Jalan Kebun Bikers Community (JKBC) bekerjasama menganjurkan konvoi kemasyarakatan melawat Rumah Perlindungan Dan Pemulihan Darul Wardah (Darwa), hari ini.

Presiden Anita Bikers Club, Anita Yusop berkata, konvoi yang diberi nama Kembara Prihatin itu antara usaha dan inisiatif kelab peminat peminat motosikal berkuasa tinggi dalam membawa mesej sosial dan sokongan kepada komuniti setempat, terutama warga Darwa.

"Jelajah dan konvoi sebegini kita telah mulakan sejak tahun 2013, saya lihat aktiviti sebegini banyak memberi manfaat kepada komuniti sosial dan mendapat banyak sokongan daripada pelbagai pihak korporat, media serta swasta.

"Program seperti ini mampu memberikan pengajaran dan menimbulkan keinsafan di kalangan masyarakat di luar sana walaupun nampak seperti tidak menyeluruh namun saya lihat ia sesuatu yang perlu diteruskan.

"Biasanya sambil berkonvoi ini, kita tidak sekadar menumpukan kepada aktiviti berbentuk kemasyarakatan sahaja tetapi juga membawa suara dan mesej tentang kepentingan alam sekitar dan sebagainya," katanya ketika sidang media.

Hazlina (dua, kiri) mendengar penjelasan daripada Anita (tiga, kiri) ketika menerima kunjungan Kembara Prihatin.
Hazlina (dua, kiri) mendengar penjelasan daripada Anita (tiga, kiri) ketika menerima kunjungan Kembara Prihatin.

Hadir sama merasmikan program, Adun Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta Pengerusi Darwa, Hazlina Abd Razak.

Dalam pada itu, Presiden JKBC, Azwan Mat Amid berkata, program berkenaan dilihat mampu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap komuniti penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kita sebenarnya mahu mendekatkan golongan peminat motosikal berkuasa besar dengan masyarakat setempat, secara tidak langsung dapat memberikan gambaran sebenar bahawa kami ini bukan sekadar gila menunggang motosikal semata-mata sebaliknya kita juga amat prihatin dengan masyarakat.

"Kita juga becadang untuk wujudkan sayap bagi mereka yang menggunakan motosikal berkuasa rendah untuk sama-sama berkongsi hobi motosikal ini ke arah sesuatu yang lebih positif dan mampu menyumbang kembali kepada komuniti," katanya.

Sementara itu, Hazlina melihat program berkenaan sebagai satu langkah positif daripada masyarakat terutama dalam memberikan sokongan moral dan kekuatan kepada warga Darwa ke arah menjadi lebih baik.

Katanya, ia sekali gus mampu menepis stigma negatif sesetengah masyarakat yang gemar menghukum tanpa memberikan peluang kedua kepada mereka yang pernah tersilap langkah dalam kehidupan lampau mereka.

"Saya fikir program berbentuk interaksi bersama masyarakat seperti ini mampu memberikan satu sokongan moral yang besar kepada anak-anak ini secara positif untuk meneruskan kehidupan mereka tanpa bebanan pandangan-pandangan negatif dari luar," katanya.