X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Macau Scam bermula apabila mangsa menerima satu panggilan telefon yang mengaku mereka itu daripada syarikat kewangan dan menyatakan mangsa ada hutang kad kredit atau hutang lama dan sebagainya. (Gambar kecil: Datuk Zainuddin Yaacob )
A
A

SHAH ALAM - Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menunjukkan rakyat Malaysia kerugian lebih RM518 juta dalam tempoh dua tahun lalu akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, angka itu dijangka meningkat pada tahun ini apabila setakat 18 November lalu, sebanyak RM264 juta kerugian dilaporkan berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM254 juta.

Menurut beliau, mangsa tertinggi pula adalah dalam kalangan pekerja sektor swasta dengan keseluruhan 5,600 kes dilaporkan sepanjang tempoh tersebut.

“Angka ini membuktikan Macau Scam adalah sindiket yang cukup licik memperdaya mangsa jika kita terus leka dan mengambil sikap tidak mahu ambil tahu,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Jelasnya, PDRM telah membuat pelbagai kempen bagi memupuk kesedaran orang ramai daripada menjadi mangsa sindiket berkenaan yang dilakukan secara dalam talian.

“Segala urusan penipuan sindiket Macau Scam asalnya melibatkan warga China yang menipu rakyat mereka sendiri.

“Sindiket warga China ini beroperasi di Malaysia dan menipu rakyat di negara mereka. Kemudian penipuan ini menular di Malaysia di mana mangsa adalah masyarakat kita.

“Secara jelasnya, kalau Macau Scam itu melibatkan mangsa dari negara China maka suspek adalah berasal dari negara China yang beroperasi di Malaysia.

“Tapi jika kes penipuan membabitkan mangsa warga tempatan, suspek adalah orang Malaysia yang beroperasi di luar negara,” katanya.

Zainuddin berkata, kes Macau Scam tersebut bermula apabila mangsa menerima satu panggilan telefon daripada pihak yang mengaku mereka daripada syarikat kewangan dan menyatakan mangsa mempunyai hutang kad kredit atau hutang lama dan sebagainya.

Ahli sindiket Macau Scam mahir menyamar sebagai anggota penguat kuasa untuk menipu orang ramai.
Ahli sindiket Macau Scam mahir menyamar sebagai anggota penguat kuasa untuk menipu orang ramai.

Malah, katanya, ada juga yang mengaku daripada syarikat penghantaran seperti Pos Malaysia dengan mendakwa barang terlarang milik mangsa tersangkut di pihak kastam.

“Kemudian kononnya talian akan disambungkan kepada pihak polis untuk siasatan bagi mengelirukan mangsa.

“Sebenarnya, polis tidak ada kemudahan untuk sambung talian sedemikian,” katanya.

Zainuddin berkata, panggilan itu sebenarnya disambungkan kepada suspek yang menyamar, misalnya sebagai Inspektor Wong dan menyatakan mangsa telah melakukan pelanggaran undang-undang.

“‘Inspektor’ itu pula nanti berpura-pura mengatakan bahawa barang yang dihantar itu menyalahi undang-undang dan mangsa diminta memberikan butiran lanjut.

“Suspek akan terus menakut-nakutkan mangsa dengan mengancam akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 (AMLA) lalu meminta mangsa memindahkan wang.

“Jika tidak, mangsa kononnya akan ditangkap, dipenjara dan sebagainya. Suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang ke dalam satu akaun lain yang dikawal sindiket dipanggil keldai akaun,” katanya.

Mangsa tertinggi pula ada dalam kalangan kakitangan swasta dengan keseluruhan 5,600 kes dilaporkan sepanjang tempoh itu.
Mangsa tertinggi pula ada dalam kalangan kakitangan swasta dengan keseluruhan 5,600 kes dilaporkan sepanjang tempoh itu.

Antara kes sindiket Macau Scam di Malaysia pada tahun ini

9 Julai 2020

Kegiatan sekumpulan penjenayah Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan pejabat pos dan polis tumpas selepas lapan lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 43 tahun diberkas di sekitar Lembah Klang pada 1 dan 2 Julai lalu.

Kumpulan berkenaan memperdaya seorang wanita warga emas berusia 90 tahun hingga mengalami kerugian mencecah RM3.83 juta.

13 Julai 2020

Polis Johor menumpaskan sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau Macau Scam dengan tertangkapnya 12 suspek dalam serbuan di sebuah rumah di Mount Austin, Johor Bahru pada 7 Julai lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 9.30 pagi.

27 Julai 2020

Seorang pesara guru wanita berusia 71 tahun kerugian RM1.07 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam di Selangor.

Mangsa menjadi sasaran selepas menerima satu panggilan daripada individu mendakwa petugas Pos Laju Malaysia yang memaklumkan mempunyai satu bungkusan dihantar dari Kepong ke Sabah mengandungi kad pengenalan atas nama mangsa pada 25 Mei lalu.

16 Ogos 2020

Seorang suri rumah di Serdang, Selangor rugi RM2.4 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Telekom pada April lalu.

Mangsa berusia 60 tahun dihubungi seorang lelaki memaklumkan mempunyai bil tertunggak dan terbabit dengan kegiatan pengedaran kad kredit palsu.

6 Oktober 2020

Seorang wanita berusia 49 tahun yang juga guru berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM1.13 juta lesap diperdaya oleh polis palsu di Kajang.

9 Oktober 2020

Tindakan pengurus agensi perbankan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun baharu selepas diarahkan oleh 'pegawai polis' mengundang padah apabila wang hampir RM2 juta miliknya lesap dipercayai ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa berusia 50 tahun menerima panggilan telefon daripada wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada 5 Mei lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!