X

Kindly register in order to view this article
!

Angkasa harap kerajaan tambah peruntukan untuk gerakan koperasi

Abdul Fattah - Foto internet
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap tidak akan berlaku perubahan besar pada Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang diluluskan di peringkat dasar semalam.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebarang perubahan di peringkat jawatankuasa akan membantutkan perancangan pemulihan ekonomi dan pemberian bantuan kepada rakyat, khususnya kepada ahli koperasi yang berjumlah lebih 6 juta orang.

“Kita mengalu-alukan keputusan Parlimen semalam kerana sudah diluluskan pada peringkat dasar. Daripada segi gerakan koperasi, kita masih menaruh keyakinan agar kerajaan dapat menambah jumlah bajet untuk diberikan kepada gerakan koperasi menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Sekarang ini, kita dapati bajet untuk pembangunan perniagaan koperasi hanya RM6.5 juta serta bajet untuk pembiayaan tabung modal pusingan koperasi RM30 juta, ini menjadikan jumlah keseluruhan bajet sebanyak RM36.5 juta untuk gerakan koperasi. Pada kita peruntukan kepada gerakan koperasi ini masih kecil kalau dibandingkan dengan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada sidang media program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Coopcare Angkasa di Dewan Persatuan Penduduk Bandar Baru Sentul di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya tiada peruntukan tambahan bajet dilakukan, kerajaan disaran mengambil sedikit jumlah dari bajet PKS untuk diberikan kepada koperasi.

Beliau berkata, jumlah yang terlibat dalam PKS hanya kira-kira satu juta individu berbanding koperasi yang mempunyai seramai 6.1 juta ahli dan polisi dalam Belanjawan 2021 tidak menyebut mengenai manfaat yang dapat diperoleh koperasi yang berdaftar dengan SKM.

“Kita berharap kerajaan dapat pertimbangkan semula untuk menambah klausa dalam bajet PKS supaya koperasi sama-sama boleh mohon dan memperoleh manfaat tersebut,” katanya menambah ini berikutan koperasi tidak ditarifkan di bawah PKS yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sementara itu, Angkasa hari ini menyantuni 50 golongan B40 di sekitar Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dengan mengagihkan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan yang terkesan berikutan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan program CSR Coop Care, jumlah keseluruhan sumbangan hari ini bernilai RM3,500 adalah menerusi Projek BA100 dan sehingga kini, lebih 37,000 orang mendapat manfaat CSR berkenaan.

“Kita mahu masyarakat sedar bahawa Angkasa bukan sekadar terlibat dalam kegiatan ekonomi tetapi dalam masa sama prihatin kepada masyarakat," katanya menambah Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara, dinaungi kira-kira 14,000 buah koperasi seluruh negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!