Lelaki parah ditetak dengan parang

Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki berpakaian gelap dan bertopeng telah menetak mangsa dengan menggunakan parang panjang di sebuah kedai runcit di Teluk Intan semalam. - Foto ihsan pembaca
Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki berpakaian gelap dan bertopeng telah menetak mangsa dengan menggunakan parang panjang di sebuah kedai runcit di Teluk Intan semalam. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang lelaki parah selepas ditetak dengan parang panjang oleh dua lelaki dalam satu kejadian di sebuah kedai runcit di Taman Fajar, Jalan Kampung Banjar di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 46 tahun cedera dan patah tulang di kedua-dua lengan dan paha kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, siasatan dijalankan sebaik menerima maklumat pertama mangsa ditetak dan pemeriksaan mendapati terdapat tompokan darah di ruang kedai dipercayai milik mangsa.

“Hasil pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa telah selesai membeli sabun pakaian di kedai tersebut sebelum sebuah kereta jenis Honda City warna kelabu berhenti hampir dengannya.

“Dua lelaki berpakaian gelap dan bertopeng muka telah keluar dari kereta itu dengan membawa parang panjang dan terus meluru ke arah mangsa menyebabkan mangsa cuba menyelamatkan diri dengan masuk semula ke kedai," katanya.

Menurutnya, mangsa yang sedang lari telah jatuh terduduk di ruang tengah kedai menyebabkan dia ditetak oleh kedua-dua suspek beberapa kali sebelum mereka melarikan diri.

"Mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami luka kesan tetakan senjata tajam dan patah tulang siku, kedua-dua lengan serta tulang peha kanan.

“Semakan mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu. Gerakan dijalankan bagi mengesan suspek terbabit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anuar berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.