Banjir di Terengganu semakin pulih

Penduduk di Kampung Petaling, Kuala Nerus memindahkan barangan selepas kediaman mereka dinaiki air.
Penduduk di Kampung Petaling, Kuala Nerus memindahkan barangan selepas kediaman mereka dinaiki air.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih apabila hanya 520 mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu berbanding 690 orang pagi tadi.

Sehingga jam 7 malam tadi, hanya enam daerah yang masih terjejas dengan 20 PPS masih dibuka dan menempatkan 130 keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebuah PPS di daerah Besut yang menempatkan 10 mangsa semalam, telah ditutup petang tadi.

"Jumlah mangsa di Setiu menurun kepada 15 orang dan kini ditempatkan di tiga PPS manakala mangsa di Kuala Nerus kekal dengan 180 mangsa daripada 41 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

"Di Dungun pula, jumlah mangsa meningkat kepada 144 mangsa berbanding 131 mangsa pagi tadi dan kini ditempatkan di tujuh PPS.

"Sebanyak tiga PPS diaktifkan di Marang dan menempatkan 102 mangsa daripada 25 keluarga manakala 61 mangsa masih ditempatkan di dua PPS di Kuala Terengganu sementara di Kemaman, seramai 18 mangsa daripada empat keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsan Kemasik," katanya.

Sementara itu, kebanyakan sungai di Terengganu mula menunjukkan trend penurunan sejak pagi tadi.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu mencatatkan bacaan 12.94 meter, melepasi paras amaran.

Artikel Berkaitan:

Ia bagaimanapun menurun berbanding 13.06 meter yang direkodkan pagi tadi.

Sebuah lagi sungai yang berada pada paras amaran adalah Sungai Nerus di Langkap, Setiu dengan 20.01 meter.

Selain itu, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang direkodkan berada pada paras waspada dengan bacaan 2.04 m.