PKPD di sembilan taman perumahan mukim Sungai Seluang, Kulim

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di beberapa taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah bermula Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu membabitkan kira-kira 6,000 penduduk di 1,412 rumah yang tinggal di Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1, Taman Kangkong 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 197 ujian saringan secara bersasar dan sebanyak 50 kes positif koronavirus (Covid-19) direkodkan di lokaliti ini.

“Berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, PKPD akan dikenakan di lokaliti ini selama 14 hari bermula 27 November hingga 10 Disember ini,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, semua penduduk perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD kecuali bagi kes kecemasan selain penutupan sekolah, masjid dan rumah ibadat lain.

Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksana di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah mulai 27 November hingga 10 Disember berikutan jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan ialah 253, manakala 581 sampel masih menunggu keputusan.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu membabitkan 18,000 penduduk di 3,400 kediaman.

Katanya, susulan pelaksanaan PKPD itu, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan dan pihak berkuasa tempatan akan memantau lokaliti terbabit bagi memastikan pematuhan PKPD serta SOP pencegahan Covid-19.

Turut diumumkan penamatan PKPD di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang di Kudat, Sabah seperti yang dijadualkan pada Khamis ini.

Artikel Berkaitan:

“Penilaian risiko KKM mendapati situasi Covid-19 di lokaliti terbabit menunjukkan trend penurunan dan terkawal. Daripada 3,084 ujian saringan dijalankan, 345 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya sambil menambah semua penduduk masih tertakluk kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri memaklumkan bahawa kesemua 312 individu yang ditahan kerana ingkar arahan SOP dikenakan kompaun.

Menyentuh Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 8,760 pendatang asing tanpa izin (PATI), 798 tekong dan 360 penyeludup berjaya diberkas sejak 1 Mei hingga 24 November lepas. - Bernama

AKAN MENYUSUL

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) https://t.co/FoPSYSygVF

— SinarOnline (@SinarOnline) November 25, 2020