Tiga lelaki tuntut hutang, pukul peniaga kedai runcit

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang peniaga kedai runcit warga asing dan isterinya cedera selepas dipukul tiga lelaki yang menuntut hutang sebanyak RM8,000 dalam kejadian di Taman Medan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pada jam 11.12 malam itu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada isteri mangsa yang juga warga tempatan berusia 40 tahun.

"Menurutnya, tiga lelaki tempatan menghampiri suaminya berusia 36 tahun ketika berada di dalam kedai runcit berkenaan.

"Ketiga-tiga lelaki tersebut menuntut hutang sebanyak RM8,000 daripada pasangan berkenaan sebelum salah seorang suspek menampar suami pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, ketika suami pengadu mempertahankan diri, dua lagi suspek memukul isterinya dan pasangan itu mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan badan.

"Polis membuat tiga serbuan berasingan iaitu di Klang dan Kuala Lumpur. Seramai tiga lelaki berusia 30 hingga 45 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

"Hasil soal siasat mendapati kesemua suspek mengaku terbabit dalam kejadian tersebut. Mereka ditahan reman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: