Tiada penangguhan kursus pengajian di universiti awam

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR – Semua kursus pengajian di universiti awam (UA) tidak ditangguhkan walaupun negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, semua UA telah membuat penjadualan semula kalendar akademik masing-masing bagi memastikan pelajar dapat menghabiskan silibus diperlukan.

Menurutnya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memberi kelonggaran kepada lima kategori pelajar berkeperluan seperti tiada akses internet dan sebagainya untuk pulang ke kampus secara berperingkat.

“UA juga diminta membuat perancangan jadual akademik dengan rapi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya berlaku sebarang senario seperti makmal penuh dan sebagainya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Noor Amin Ahmad (PKR-Kangar) yang meminta jaminan KPT bagaimana pelajar dapat menghabiskan silibus dan mendapat pembelajaran berkualiti seperti di institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan situasi semasa Covid-19.

Dalam pada itu, Noraini (BN-Parit Sulong) memberitahu, seramai 435,994 pelajar sepatutnya mendaftar di UA pada Oktober 2020.

“Daripada jumlah itu, seramai 111,009 merupakan mahasiswa baharu, manakala 324,985 mahasiswa yang akan menyambung pengajian bagi semester berikutnya bagi sesi akademik 2020/2021.

“Sehingga 24 November 2020, seramai 44,188 pelajar UA masih berada di kampus bagi meneruskan pembelajaran masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan: