Nelayan dinasihat jangan tuba, racun ikan sungai

Mohammad Fakhruddin melepas ikan sungai pada Program Pemuliharaan Dan Perlindungan Sumber Perikanan Darat di Kampung Padang Rumbia, Pekan, Pahang semalam.
Mohammad Fakhruddin melepas ikan sungai pada Program Pemuliharaan Dan Perlindungan Sumber Perikanan Darat di Kampung Padang Rumbia, Pekan, Pahang semalam.
A
A
A

KUANTAN - Nelayan sungai di Pahang dinasihatkan tidak menggunakan kaedah tuba atau meracun ikan kerana ia memberi kesan buruk dan mengakibatkan habitat ikan pupus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, keadah meracun ikan menggunakan carbofuran, methomyl dan potas boleh mendedahkan keracunan kimia kepada hidupan itu.

"Penggunaan bahan ini sebenarnya akan memberi kesan tidak baik kepada habitat di Sungai Pahang dan boleh menjejaskan sumber bekalan ikan sungai.

"Jadi, kita mahu tindakan ini dihentikan segera bagi memastikan pelbagai spesies ikan sungai di Pahang tidak akan pupus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan lebih 6,000 benih ikan lampam sungai dan baung sempena Program Pemuliharaan Dan Perlindungan Sumber Perikanan Darat di Kampung Padang Rumbia, Pekan.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri berkata, kerajaan melalui Jabatan Perikanan mengambil inisiatif melaksanakan program pemuliharaan sumber ikan dengan melepaskan benih ikan di seluruh sungai di Pahang.

Katanya, pemuliharan sumber ikan itu bagi memastikan beberapa spesies ikan sungai terus hidup di Sungai Pahang.

"Walaupun hanya 20 hingga 30 peratus benih-benih ikan ini akan berjaya hidup dan membesar namun usaha sebegini perlu dilaksanakan bagi memastikan sumber ikan sungai terus kekal serta tidak pupus.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memastikan nelayan sungai dan penduduk terus dapat menikmati hasil ikan sungai di masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, sebanyak 61,300 ekor benih ikan pelbagai spesies telah dilepaskan di 10 lokasi Sungai di Pahang secara serentak.

Menurutnya, antara lokasi pelepasan benih ikan telah dilakukan di Sungai Benus, Kampung Janda Baik, Bentong melibatkan 11,300 ekor benih ikan kelah dan lampan sungai; Tasik Selembang, Kampung Gua, Lipis dan Sungai Klau, Felda Lembah Klau, Raub masing-masing 5,000 ekor benih ikan lampan); di Sungai Kiol, Lembah Kiol, Jerantut (5,000 ekor benih ikan lampam sungai) serta Sungai Pahang, Kampung Bangau Tanjung, Temerloh (6,000 ekor benih ikan baung dan lampam sungai).

"Seterusnya, Sungai Pahang, Kampung Lubuk Paku, Maran sebanyak 5,000 ekor benih ikan lampam sungai; Sungai Bera, Bera (6,000 ekor benih ikan baung dan lampam sungai); Sungai Pahang, Kampung Padang Rumbia, Pekan (6,000 ekor benih ikan baung dan lampam sungai; Sungai Keratong, Kampung Rekoh, Rompin (6,000 ekor benih ikan baung dan lampam sungai dan Sungai Ulu Kuantan, Kawasan Rekreasi Pasir Puteri, Kuantan (6,000 ekor benih ikan baung dan lampam sungai)," katanya.

Beliau berkata, program ini bertujuan memulihara, meningkat dan menjamin kelestarian sumber perikanan sungai di samping dapat meningkatkan sumber pendapatan komuniti setempat khususnya nelayan darat.