Dua struktur haram tepi Sungai Rawang dirobohkan

Operasi perobohan di salah satu bengkel jentera berat di Kampung Dato Lee Kim Sai hari ini.
Operasi perobohan di salah satu bengkel jentera berat di Kampung Dato Lee Kim Sai hari ini.
A
A
A

RAWANG - Dua daripada lapan struktur haram yang terletak di pinggir Sungai Rawang di Kampung Dato Lee Kim Sai di sini dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan hari ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, struktur dirobohkan itu termasuk dua bengkel penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi di atas tanah kerajaan sejak lebih 15 tahun lalu.

Hee Loy Sian pada sidang media hari ini.
Hee Loy Sian pada sidang media hari ini.

Menurutnya, notis pengosongan ke atas semua pemilik tersebut dilaksanakan sejak September lalu sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan hari ini.

"Kita dapati ada lapan struktur haram di sepanjang Sungai Rawang, enam daripadanya adalah bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

"Hari ini dua perobohan dijalankan disusuli tindakan sama secara berperingkat, " katanya pada sidang media yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Lokasi bengkel bersebelahan sungai.
Lokasi bengkel bersebelahan sungai.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan itu membuktikan ketegasan kerajaan negeri dalam menangani isu pencemaran air disebabkan operasi kilang haram berhampiran sungai.

Artikel Berkaitan:

"Jarak kilang dengan sungai terlalu dekat, hanya beberapa kilometer. Sungai ini akan mengalir ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor yang jaraknya lebih kurang 20 kilometer.

"Kita bagi fokus (penguatkuasaan) kepada bengkel jentera berat ini kerana mereka melakukan pencucian jentera yang melibatkan pelarut dan mengeluarkan minyak hitam mereka secara besar-besaran.

"Kalau mereka tak kendalikan dengan baik pelarut itu dan membuang minyak hitam terus ke sungai, ini yang mencemarkan sungai, " katanya.

Lokasi struktur haram yang terletak di Sungai Rawang di Kampung Dato Lee Kim Sai.
Lokasi struktur haram yang terletak di Sungai Rawang di Kampung Dato Lee Kim Sai.

Sementara itu, Shamsul Shahril Badliza, berkata, operasi diketuai Pejabat Tanah dan Daerah Gombak itu dilakukan dengan kerjasama MPS.

"Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis turut terlibat dalam operasi ini dan tindakan diambil di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara," katanya.