Hasrat pulang ke Indonesia tinggal impian

Kasri (tengah) di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum penjara empat bulan dan denda RM10,000 kerana kesalahan rasuah anggota polis Julai lalu.
Kasri (tengah) di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum penjara empat bulan dan denda RM10,000 kerana kesalahan rasuah anggota polis Julai lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh ladang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang mahu pulang ke negaranya hanya tinggal impian apabila dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana rasuah.

Tertuduh, Kasri, 24, turut didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Hakim Zaman Mohd Nor juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan empat bulan jika gagal menjelaskan denda.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM600 kepada pengadu Koperal Norazli Syam Mohd Nadzri semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dalam sebuah kenderaan polis pada jam 11 pagi, 15 Julai lalu.

Suapan sebagai dorongan kepada pengadu supaya melepaskannya daripada tahanan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah masuk ke Malaysia.

Bagi perbuatan rasuah, tertuduh melakukan kesalahan Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan dan memberitahu mahkamah mahu pulang ke Indonesia.

Timbalan Pendakwa Akta SPRM, Noor Hamizah Ghazali bagaimanapun memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Rasuah kesalahan serius yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan wajib didenda RM10,000 berdasarkan nilai rasuah.

“Nilai kepentingan awam perlu dilindungi, jenayah rasuah berleluasa ketika ini dan hukuman sepatutnya dapat mendidik masyarakat selain faktor dua kesalahan tertuduh yang masuk ke Malaysia tanpa dokumen dan memberi rasuah,” katanya.

Tertuduh tidak menjelaskan denda itu.