Belanjawan 2021: Jujurlah demi rakyat dan negara

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 8 November lalu.- Foto Bernama Gambar kecil: Dr Nor Azira Ayob
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 8 November lalu.- Foto Bernama Gambar kecil: Dr Nor Azira Ayob
A
A
A

UMUM telah mengikuti Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu.

Dalam tempoh sehingga Rabu ini, ahli Parlimen terus tertumpu kepada ucapan perbahasan belanjawan di peringkat dasar sama ada wakil rakyat menyokong, menolak atau menyokong dengan bersyarat sebelum sesi penggulungan berlaku dan pengundian kelulusan di Dewan Rakyat.

Namun, apa yang diperhatikan, sokongan bersyarat dilihat popular diutarakan oleh setiap parti meliputi tuntutan membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium selama enam bulan sehingga Jun 2021 demi membantu rakyat ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Perkara itu juga diutarakan oleh Barisan Nasional (BN) dengan menyuarakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan Negara 2021 menerusi Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang menggariskan kebajikan rakyat perlu diutamakan.

Meskipun BN parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi suara akar umbi tidak diabaikan malah memahami denyut nadi rakyat.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Mohd Azri Ibrahim berkata, proses perbahasan dan kemukakan cadangan oleh wakil rakyat adalah perkara biasa sebelum belanjawan negara diluluskan.

“Walaupun sokongan bersyarat dikemukakan oleh BN, belanjawan ini perlu diluluskan dengan mengambil kira tuntutan kebajikan, bantuan dan pemulihan ekonomi.

“Jika diperhatikan, sebenarnya UMNO atau BN tiada pilihan untuk tidak menyokong belanjawan. Dalam keadaan politik sekarang ini, rakyat memerhati. UMNO perlu menyokong belanjawan kerana jika itu tidak berlaku, UMNO hendak ke arah mana? Mahu tidak mahu, saya berpendapat UMNO akan sokong belanjawan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Made with Flourish

Ketika ditanya mengenai tindakan UMNO meletakkan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 ini, beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) berkata, kemungkinan itu adalah salah satu strategik atau penanda aras UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika PN mendengar pendapat UMNO, secara tidak langsung ia memberi kelebihan buat parti keramat ini untuk terus relevan pada masa akan datang dan akar umbi melihat UMNO masih berteraskan prinsip kebajikan rakyat diutamakan.

“Dalam konteks ini, saya berpendapat UMNO sedang melakukan ‘eksperimen’ mengatur strategi ke arah menghadapi PRU15. Jika benar, itu hak mereka namun aspek belanjawan. UMNO tiada pilihan selain menyokong usul tersebut,” katanya.

Sebelum ini, suara daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan menimbang semula jumlah RM500 pengeluaran KWSP kerana disifatkan tidak munasabah bagi golongan B40 selain turut meminta kerajaan menumpukan kepada pelanjutan moratorium.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Azri berkata, itu adalah perkara biasa dilakukan oleh blok pembangkang.

“Itu realiti dalam politik bila pembangkang tidak bersetuju dengan cadangan daripada kerajaan. Ia tidak mempengaruhi kelulusan belanjawan andai kata UMNO menyokong pada 25 November ini dan tarikh ini adalah penentu segalanya,” katanya.

Undang krisis politik

Sementara itu, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar mengakui Dewan Rakyat sememangnya perlu meluluskan Belanjawan 2021 bagi membolehkan kerajaan menggunakan wang perbendaharaan negara untuk melunaskan pelbagai komitmen termasuk bayaran gaji penjawat awam dan barisan hadapan atau ‘frontliners’.

Pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu memberitahu, kerajaan perlu mendapat sokongan Belanjawan 2021 untuk menggunakan wang negara daripada Kumpulan Wang Disatukan sebagaimana yang diperuntukan dalam Perkara 100 Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk pembangkang membuat saranan bagi pindaan belanjawan yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

"Persefahaman itu berhubung semua aspek Belanjawan 2021 termasuk jumlah perbelanjaan adalah solusi terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu mencecah RM322.5 bilion, blok kerajaan perlu mendapat 114 undian bagi meluluskan belanjawan dan pastinya parti menyokong Perikatan Nasional perlu berbuat demikian.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Namun jika sebaliknya berlaku, seperti mana kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia akan membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri, yang akhirnya akan menimbulkan satu lagi krisis politik.

Perkara itu juga diperkatakan oleh Mohd Azri yang mana terdapat beberapa perkara yang akan berlaku seperti Yang di-Pertuan Agong perlu melantik Perdana Menteri baharu ataupun mengadakan pilihan raya.

"Bagaimanapun, pilihan tersebut adalah sesuatu yang sukar dilaksanakan apabila negara kini sedang berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19.

"Mahu tidak mahu, UMNO perlu menyokong bajet ini dengan perbincangan secara harmoni terhadap peruntukan tertentu bagi memastikan ia lebih menyeluruh, terutamanya dalam menangani Covid-19 dan mengukuhkan kembali ekonomi," katanya.

Peluang pilihan raya tipis

Pakar ekonomi daripada Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pernah menyatakan bahawa kelulusan untuk belanja pengurusan dan pembangunan bagi tahun hadapan mestilah diluluskan dalam Parlimen melalui pembentangan Belanjawan 2021.

Menurutnya, tidak ada perbelanjaan yang akan dapat dikeluarkan kerajaan pada tahun hadapan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan dan ia akan dikaitkan dengan undi tidak percaya kepada kerajaan sekarang.

“Yang di-Pertuan Agong berhak membuat keputusan untuk memilih Perdana Menteri baharu yang mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen atau mengadakan pilihan raya semula jika tiada individu mendapat sokongan majoriti.

“Bagaimanapun, kemungkinan mengadakan pilihan raya semula dilihat agak tipis dengan suasana pandemik Covid-19 ini, malah rakyat akan marah kepada sesiapa sahaja yang membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara (UTM), Dr Nor Azira Ayob sebaliknya berkata, perbelanjaan tanggungan tetap akan berfungsi seperti biasa jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Bagaimanapun, katanya, aspek perbelanjaan mengurus yang lain seperti program kerajaan atau perolehan kerajaan akan tergendala sehingga belanjawan baharu itu diluluskan.

Katanya, perkara serupa pernah berlaku pada tahun 1999 apabila Belanjawan 2000 dibentangkan dan belum sempat diluluskan, Parlimen dibubarkan. Ia dibentangkan semula pada Februari 2000.

“Sekiranya Parlimen tergantung, maka Belanjawan 2021 turut tergantung tetapi perbelanjaan tanggungan dan perbelanjaan mengurus akan terlaksana seperti yang dijelaskan,” jelasnya.

Namun pada 16 November lalu, berita baik buat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dibenarkan untuk mengeluarkan wang dari akaun satu sehingga RM60,000.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias di mana kemudahan menerusi program i-Sinar itu bakal memberi manfaat kepada dua juta ahli dengan anggaran sebanyak RM14 bilion kepada mereka yang layak.

Kemungkinan berita tersebut yang disifatkan memberi manfaat kepada golongan terbeban boleh ‘membuka hati’ wakil rakyat untuk menyokong belanjawan sulung kerajaan Perikatan Nasional itu.

Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di program Sinar Live membincangkan tajuk Apa Kisah Belanjawan 2021 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di program Sinar Live membincangkan tajuk Apa Kisah Belanjawan 2021 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.

Bagaimanapun dalam kenyataan Najib ketika Sinar Live: Bukan Cakap Kosong pada 18 November lalu ketika ditanya pandangannya mengenai Belanjawan Negara 2021, beliau mengakui apa yang berlaku kali ini sangat mencabar.

Najib yang pernah membentangkan 10 Belanjawan Negara sebelum ini berkata, beliau faham dengan cabaran yang perlu dilalui kerajaan hari ini.

“Saya kasihan dengan Tengku Zafrul yang berhadapan dengan situasi berat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melakukan langkah yang populis, merugikan negara dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Namun apa sahaja pandangan dan jangkaan implikasi mengenai Belanjawan Negara 2021 akan terjawab pada 26 November ini, sama ada memperoleh sokongan atau sebaliknya.

Melihatkan keadaan hari ini, dengan lekuk angka mangsa Covid-19 masih tidak menunjukkan tanda akan melandai, tentunya rakyat Malaysia seboleh-bolehnya tidak mahu berlakunya pilihan raya dalam masa terdekat.

Semoga keputusan yang dibuat dapat memikirkan situasi semasa dan kali ini kita dapat melihat kesatuan kesemua pemimpin parti demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Rakyat rindukan nilai tolak ansur, saling bekerjasama dan meraikan perbezaan dalam kalangan pemimpin.

Sebetulnya mereka sudah lelah dengan kerenah pemimpin politik yang segelintirnya hanya memikir ‘tembolok’ sendiri. Sudah tiba masa untuk kita bersatu, berkhidmat demi negara dan bertanggungjawab untuk mewariskan sebuah negara yang sejahtera, aman dan maju untuk generasi akan datang.