Kehilangan Nora Anne: Ada pagar rosak namun tiada kecurian

Nora Anne
Nora Anne
A
A
A

SEREMBAN - Bekas pengurus The Dusun Resort, Halen Todd memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa resort berkenaan selamat walaupun terdapat satu atau dua pagar yang rosak di bahagian barat resort itu.

Todd, 77, berkata, tiada insiden kecurian atau penceroboh dilaporkan di resort itu dan merupakan tempat yang selamat semasa beliau dan keluarganya tinggal di situ selama 30 tahun.

“Saya dan suami tinggal di situ lebih 30 tahun bersama dua anak dan cucu. Ia sentiasa menjadi tempat yang selamat untuk keluarga saya dan kami tinggal di kawasan dengan pagar sangat terbuka dan sebenarnya orang boleh naik ke geladak dan balkoni, tetapi tidak ada yang pernah berbuat demikian. Kami tidak pernah mengalami kecurian atau penceroboh di mana-mana rumah (di resort) kami,” katanya.

Todd, saksi ke-38 dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, pada hari ke-18 di hadapan Koroner Maimoonah Aid yang dijalankan secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan itu di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Semasa ditanya peguam keluarga remaja berkenaan, Louise Azmi sama ada beliau menyedari terdapat jurang di pagar belakang resort dan jika Nora Anne memanjatnya untuk keluar, Todd yang merupakan pemegang saham The Dusun berkata: "Pagar di belakang hampir rebah ke tanah tetapi dia masih perlu memanjatnya.”

Menjawab soalan lain oleh peguam The Dusun Resort, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar jika beliau nampak keluarga Nora Anne pada hari mereka tiba pada 3 Ogos 2019, Todd berkata, beliau melihat mereka pada 5.30 petang ketika beliau dan suaminya serta cucu berenang di kolam.

"Saya nampak keluarga Qouirin berjalan menuruni tangga dan mereka semua berpakaian untuk berjalan dengan kasut yang sesuai, kemeja lengan panjang dan mereka melepasi kolam renang ke pintu pagar Berlin dan selepas itu saya tidak nampak ke mana mereka pergi," katanya sambil menambah bahawa mereka semua berjalan seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus The Dusun Resort, Nur Asmaq Lokman, 30, dalam keterangannya pula berkata, sebelum ketibaan keluarga berkenaan di villa penginapan Sora House, terdapat 13 keluarga lain menginap di villa yang sama bagi tempoh 5 Julai hingga 2 Ogos tahun lepas.

Saksi ke-39 itu berkata, dalam tempoh berkenaan juga, kerosakan selak tingkap di villa berkenaan masih belum diperbaiki.

“Saya perasan perkara itu (kerosakan selak) telah lama. Dalam bulan tujuh (Julai) saya dah minta Adam (pekerja resort) mencarikan selak itu dan Adam dah cuba cari tapi tak jumpa yang sama dan saya cakap tak apa sebab Sora akan ada renovation (pengubahsuaian) bulan 10 (Oktober), jadi kita biarkan sahaja dahulu,” katanya.

Ditanya Koroner Maimoonah mengenai reaksi adik-beradik Nora Anne semasa beliau memberi penerangan mengenai kemudahan yang ada di dalam villa berkenaan sehari sebelum remaja itu didapati hilang, Nur Asmaq berkata, beliau hanya menyedari reaksi adik Nora Anne, Maurice Arthure yang dilihat sangat aktif dan banyak bercakap.

“Nora senyap dan semasa saya beri penjelasan tentang boleh buka tingkap jika panas, Nora sedang duduk di tangga pusing,” katanya.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding itu bersambung esok. - Bernama