Mohon jasa veteran ATM dihargai

Yunus (lima kiri), Abd Nasir (tengah duduk) bersama veteran ATM.
Yunus (lima kiri), Abd Nasir (tengah duduk) bersama veteran ATM.
A
A
A

BALING - Kerajaan PH diharap dapat memberikan perhatian penuh kepada veteran tentera supaya kebajikan mereka terjaga.

Pengurus Pentadbiran Hal Ehwal Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Persatuan Daulat Malaysia Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen cawangan Mukim Siong, Yunus Ahmad berkata, golongan veteran seperti hilang arah tuju sedangkan mereka sewaktu perkhidmatan dididik dengan disiplin tinggi.

Menurutnya, kebanyakannya seperti hilang tempat pergantungan selepas tidak lagi berkhidmat.

"Ramai veteran yang hidup terabai. Dalam veteran saya pun ramai keadaan rumah mereka terlalu daif.

"Selama ini hanya janji-janji kosong sahaja, tiada apa diberi. Ada juga yang sakit terlantar," katanya.

Terdahulu, Adun Bayu, Abd Nasir Idris diberikan penghormatan diberikan tabik hormat dan memeriksa barisan, di Pekan Kampung Weng.

Katanya, terdapat kes keluarga veteran menunggu bantuan kerusi roda dalam tempoh begitu lama.

"Bila kita pergi ziarah ada keluarga veteran yang menanti lama bantuan kerusi roda.

Artikel Berkaitan:

"Ramai yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), tetapi tidak menerima perhatian. Bila kita tanya mereka beri alasan terlepas pandang," katanya

Namun katanya, hasil penubuhan Persatuan Daulat, nasib golongan veteran terabai dapat disuarakan terus kepada jabatan itu.

"Ini menunjukkan ada gerak, jika persatuan tidak suarakan tiadalah.

"Faktor lain terlepas pandang ini juga kerana golongan veteran tidak mengetahui saluran yang ada untuk memohon bantuan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan terdahulu ada menjanjikan sebidang tanah kepada veteran ATM namun ia tidak ditunaikan.

"Dulu veteran bersara penuh atau sebaliknya kerajaan ada kata nak beri peruntukan sebidang tanah. Tetapi senyap macam itu saja.

"Justeru kita harap kerajaan hari ini bantu ramai veteran ATM yang keadaan mereka serba daif antaranya dengan bina perumahan kos rendah.

"Saya minta jasa baik kerajaan supaya beri perhatian penuh kepada veteran-veteran ATM, barulah pakatan antara rakyat dan kerajaan menjadi baik," katanya.

Sementara itu, Abd Nasir berkata, veteran ATM mahupun mereka yang masih berkhidmat dalam bidang itu merupakan tunjang belakang negara.

"Golongan ini perlu diberi perhatian sebagai membalas budi pengorbanan mereka untuk negara," katanya.