RM30 juta zakat khas bantu asnaf

Syed Hussien menyantuni penerima sumbangan motosikal ketika Majlis Penyampaian Sumbangan MAIWP-Prihatin Kasih Asnaf di Dewan Seminar MAIWP, Bangunan Perkim kelmarin.
Syed Hussien menyantuni penerima sumbangan motosikal ketika Majlis Penyampaian Sumbangan MAIWP-Prihatin Kasih Asnaf di Dewan Seminar MAIWP, Bangunan Perkim kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi bantuan zakat khas yang disalurkan untuk meringankan beban golongan asnaf yang terjejas susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, sebelum ini sebanyak RM72.81 juta dana zakat dibelanjakan oleh MAIWP menerusi Misi Musaadah Covid-19 yang digerakkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Bagi gelombang ketiga Covid-19, MAIWP memperuntukan RM30 juta bagi bantuan zakat khas MAIWP menerusi MAIWP Prihatin Kasih Asnaf,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyampaian Sumbangan MAIWP-Prihatin Kasih Asnaf di Dewan Seminar MAIWP, Bangunan Perkim di sini kelmarin.

Syed Hussien berkata, bantuan zakat itu merangkumi zakat khas berjumlah RM16.3 juta kepada seramai 32,520 asnaf di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurutnya, penerima terdiri daripada penerima Bantuan Kewangan Bulanan, Bantuan Perubatan dan Bantuan Sewa Rumah Bulanan.

Selain itu, katanya, Bantuan Kecemasan Covid-19 berjumlah RM9.5 juta dengan anggaran seramai 19,000 penerima turut disalurkan.

Penerima termasuk wakil universiti tempatan bergambar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan MAIWP-Prihatin Kasih Asnaf di Dewan Seminar MAIWP, Bangunan Perkim, Kuala Lumpur kelmarin.
Penerima termasuk wakil universiti tempatan bergambar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan MAIWP-Prihatin Kasih Asnaf di Dewan Seminar MAIWP, Bangunan Perkim, Kuala Lumpur kelmarin.

“Bantuan ini bagi membantu pemandu teksi/e-hailing, pengawal keselamatan, peniaga kecil, mereka yang hilang pekerjaan dan lain-lain golongan yang terjejas akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Permohonan bantuan ini telah dibuka bermula pada 16 November lalu sehingga 27 November 2020,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bantuan turut disalurkan kepada 800 buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4 juta.

“Bantuan juga diberikan kepada 48 institusi tahfiz dan pusat perlindungan di Wilayah Persekutuan dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM240,000,” katanya.

Syed Hussien berkata, secara keseluruhannya bagi membantu meringankan beban semua pihak yang terkesan akibat gelombang ketiga Covid-19, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM38.98 juta dana zakat menerusi inisiatif MAIWP Prihatin 3.0.