Tekun Johor sasar 3,000 peminjam seluruh negeri

Zainal
Zainal
A
A
A

PAGOH - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Johor bersedia membantu peniaga Bumiputera yang berhasrat mengembangkan perniagaan.

Pengurus Tekun Nasional Johor, Zainal Rahmat berkata, melalui peruntukan RM40 juta, beliau menyasarkan faedah itu mampu dinikmati hampir 3,000 usahawan di seluruh negeri sepanjang tahun.

Katanya, kelayakan pinjaman minima RM10,000 kepada seorang usahawan merupakan peluang keemasan bagi mereka yang berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Kita ada pelbagai pecahan skim yang mana nilai pinjaman paling kecil RM10,000 hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada jenis skim. Namun untuk peniaga kecil baharu berkecimpung, nilai sebegitu sudah mampu merancakkan perniagaan mereka.

“Di pihak Tekun Johor, kita bersedia membantu kumpulan ini kerana nak kita sama-sama berikan kejayaan kepada petani dan peniaga kecil ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau sebelum itu ditemui ketika menghadiri Majlis Perasmian Jejak Agropreneur Muda Pagoh (Jagoh) yang disempurnakan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal.

Menurut Zainal, meskipun berada di kawasan luar bandar, masyarakat harus bijak mencungkil potensi perniagaan yang boleh dimajukan di kawasan mereka.

“Bagi Parlimen Pagoh ini, kita sasarkan jumlah pinjaman sehingga RM2.5 juta dengan faedah meliputi kira-kira 100 ke 200 peminjam.

Artikel Berkaitan:

“Macam di kawasan ini, sumber utama dilihat lebih terarah kepada sektor pertanian. Justeru, penduduk khususnya golongan muda boleh merebut peluang dengan menjadi petani secara kecil-kecilan sebelum memohon manfaat melalui Tekun,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini, pihak Tekun tidak berdepan masalah mengenai bayaran balik apabila berjaya menerima sehingga kira-kira 10 peratus jumlah keseluruhan pinjaman dalam tempoh setiap bulan.