FAM sasar 20,000 jualan tiket

Noor Azman (berdiri, tengah) bergambar bersama para penaja pada Majlis Sidang Media Bersama Penaja Sempena Festival Harimau Malaya Terengganu 2023. - Foto Bernama
Noor Azman (berdiri, tengah) bergambar bersama para penaja pada Majlis Sidang Media Bersama Penaja Sempena Festival Harimau Malaya Terengganu 2023. - Foto Bernama
A
A
A

SEBANYAK 20,000 tiket aksi Antarabangsa Tier 1 antara pasukan Malaysia dengan pasukan Solomon Island dijangka dapat dijual menjelang perlawanan Khamis ini, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pihaknya positif dapat menaikkan jumlah jualan tiket dalam tempoh berbaki dua hari sebelum perlawanan dengan sokongan penganjuran Festival Harimau Malaya di pekarangan Kompleks Gong Badak.

"Setakat ini dah hampir 5,000 keping tiket terjual. Dengan adanya acara dan aktiviti di Festival Harimau Malaya, benda (jualan tiket) itu akan naik perlahan-lahan.

"Insya-ALLAH ada dua hari lagi...Biasanya saat-saat akhir pembelian akan naik mendadak.

"Kita lihat dan mengharapkan boleh cecah 20,000 penonton hadir memyaksikan perlawanan," katanya pada sidang media pada Isnin.

Noor Azman berkata, pihaknya juga menjangkakan kehadiran sekitar 100,000 pengunjung dari dalam dan luar Terengganu di Festival Harimau Malaya yang berlangsung selama tujuh hari bermula 14 Jun ini.

Menurutnya lagi, antara aktiviti yang disediakan termasuk Harimau Malaya Night Run, Rembat Challenge BIMB, Kejohanan bola sepak kanak-kanak dan remaja, perlawanan amal bekas pemain kebangsaan dan cabaran bola sepak jalanan.

Selain itu katanya,sebanyak 80 reruai pelbagai barangan dan makanan akan dibuka dengan jangkaan pulangan ekonomi sebanyak RM4 juta kepada usahawan dan peniaga tempatan.

"Penganjuran festival Harimau Malaya bukan sahaja mampu menarik sokongan penonton, malah memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan penduduk di sekitar Kuala Terengganu.

"Terima kasih kepada rakan penaja Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Syarikat Air Terengganu (SATU), Super Jantan dan lain-lain lagi yang memberi sokongan untuk program ini," katanya. - Bernama