Ibu, isteri antara 6 ditahan bersama dadah RM8.14 juta

Sahabudin (tiga, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat serbuan berasingan semalam.
Sahabudin (tiga, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat serbuan berasingan semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua peniaga buah antara enam ahli sindiket yang ditahan bersama dadah bernilai RM8.14 juta di beberapa lokasi di negeri ini dalam empat serbuan semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, dua peniaga itu ialah wanita berusia 59 dan 28 tahun iaitu ibu dan isteri kepada ketua sindiket tersebut.

"Selain dua wanita tersebut, polis turut menahan empat lelaki tempatan iaitu ketua sindiket yang tidak bekerja dan tiga nelayan berusia lingkungan 32 hingga 38 tahun.

"Rahsia sindiket tersebut terbongkar selepas penahanan ketua sindiket berusia 35 tahun bersama seorang orang kanannya di dalam sebuah kereta dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini tadi.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, polis menemui 2 kilogram (kg) methamphetamine di dalam kereta tersebut.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah stor rumah di Sungai Nibong dan menahan seorang lelaki. Selepas itu, kita menyerbu sebuah rumah teres di Bayan Lepas dan menahan seorang lagi lelaki.

"Ketua sindiket tersebut kemudiannya membawa polis ke rumah sewanya di Balik Pulau. Di kediaman itu, kita menahan ibu dan isterinya yang juga warga Thailand," katanya

Artikel Berkaitan:

Sahabudin berkata, polis merampas 133.3kg syabu, 20.7kg ketamin dan 11.1kg heroin di semua tiga buah rumah terbabit melalui operasi khas bermula jam 4.30 pagi hingga 9.30 pagi itu.

"Dadah ini dipercayai diperoleh dari Thailand menggunakan jalan darat dan diambil oleh suspek di Sintok sebelum dibawa ke negeri ini.

"Sindiket yang aktif sejak awal tahun itu juga disyaki membungkus semula dadah mengikut permintaan pelanggan mereka dan semua dadah itu dibungkus dengan bungkusan minuman teh sebelum disimpan dalam kotak buah untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Dadah bernilai RM8.14 juta dari enam ahli sindiket yang ditahan semalam.
Dadah bernilai RM8.14 juta dari enam ahli sindiket yang ditahan semalam.

Menurutnya, polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu Ford Everest, Proton Perdana dan sebuah motosikal bernilai RM38,400 serta wang tunai RM2,100 menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM8.18 juta.

"Ibu dan isteri suspek juga disyaki terlibat dalam sindiket ini, namun siasatan masih dijalankan. Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang masih kecil.

"Dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah manakala empat lagi tiada (rekod jenayah)," katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki positif methamphetamine manakala ketua sindiket, ibu dan isterinya negatif.

"Kesemua suspek direman seminggu sehingga 25 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Rampasan ini yang terbesar tahun ini. Dadah ini mampu dibekalkan kepada lebih sejuta penagih jika terlepas ke pasaran," katanya.