X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli politik setuju YB wajib saringan kesihatan berkala

SALAHUDDIN AYUB, RAZLAN
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen perlu memanfaatkan kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka bagi menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala agar dapat menjalani rawatan susulan sekiranya perlu.

Ahli Parlimen Pulai yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, terdapat kemungkinan dalam kalangan ahli Parlimen yang tidak mengetahui status kesihatan mereka selain tidak menyedari adanya kemudahan kesihatan untuk mereka.

Menurutnya, ahli Parlimen sebenarnya diberikan kemudahan mendapatkan pemeriksaan kesihatan penuh bersama doktor termasuk rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

“Pemeriksaan kesihatan penting supaya ahli Parlimen tahu keadaan semasa kesihatan mereka dan menanganinya sekiranya terdapat penyakit yang perlu diubati.

“Kalau ada rekod kesihatan, kita dapat kesan awal keadaan kita. Biar kita tahu status kesihatan kita sama ada kita ada darah tinggi, kencing manis atau jantung.

“Kalau kita ada masalah tersebut, doktor boleh bantu dan berikan nasihat serta tindakan yang perlu kita ambil,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Salahuddin berkata, kebanyakan penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan dan kematian mengejut itu lazimnya tidak menunjukkan simptom yang jelas.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berpandangan, setiap ahli Parlimen perlu diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, kesibukan menjalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat di kawasan masing-masing didapati menjadi antara punca kesihatan tidak terjaga.

“Mereka tak terkejar dengan tugasan mereka terutama bagi yang kawasannya memiliki jumlah penduduk yang ramai. Ini merupakan salah satu sebab mengapa kesihatan mereka tak terjaga.

“Paling penting kita kena tahu situasi jantung kita kerana kebanyakan yang meninggal dunia secara mengejut adalah berkaitan dengan jantung.

“Jadi, kalau boleh kita wajibkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk pergi melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

SENARAI AHLI PARLIMEN DAN ADUN YANG MENINGGAL DUNIA SELEPAS PRU14

[2 Julai 2018]

Mat Shuhaimi Shafiei (ADUN Sungai Kandis, Selangor - PKR)

50 tahun

Kanser limfoma

[20 Julai 2018]

Eddie Ng Tien Chee (ADUN Balakong, Selangor - DAP)

40 tahun

Terlibat dalam kemalangan jalan raya

[2 Ogos 2018]

Prof Dr Shaharuddin Badaruddin (ADUN Seri Setia, Selangor - PKR)

56 tahun

Kanser usus

[11 Januari 2019]

Bakhtiar Mohd Nor (ADUN Semenyih, Selangor - Bersatu)

57 tahun

Serangan jantung

[28 Mac 2019]

Datuk Stephen Wong Tien Fatt (Ahli Parlimen Sandakan, Sabah - DAP)

65 tahun

Serangan jantung

[21 September 2019]

Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik (Ahli Parlimen Tanjung Piai, Johor - Bersatu)

42 tahun

Serangan jantung

[6 Mei 2020]

Datuk Seri Abu Bakar Harun (ADUN Chini, Pahang - UMNO)

60 tahun

Serangan jantung

[15 Julai 2020]

Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (ADUN Slim, Perak - UMNO)

59 tahun

Serangan jantung

[ 2 Oktober 2020]

Datuk Liew Vui Keong (Ahli Parlimen Batu Sapi, Sabah - Warisan)

60 tahun

Pneumonia

[6 November 2020]

Datuk Hasbullah Osman (Ahli Parlimen Gerik, Perak - UMNO)

63 tahun

Serangan jantung

[17 November 2020]

Manis Muka Mohd Darah (ADUN Bugaya, Sabah - Warisan)

65 tahun

Penyakit buah pinggang


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!