Jangan kedekut berkongsi harta

Sesungguhnya, Islam menuntut umatnya menjadikan sedekah sebagai amalan kerana selain mampu menyucikan diri dan harta, pahala bersedekah akan berkekalan. Gambar hiasan.
Sesungguhnya, Islam menuntut umatnya menjadikan sedekah sebagai amalan kerana selain mampu menyucikan diri dan harta, pahala bersedekah akan berkekalan. Gambar hiasan.
A
A
A

Beberapa minggu lalu, penulis berkunjung ke sebuah kedai makan di Marang, Terengganu untuk bungkus sarapan.

Sebungkus nasi lemak, dua bungkus nasi minyak dan satu bekas mi goreng menjadi pilihan untuk dinikmati bersama keluarga.

Ketika duit dihulur, peniaga beritahu tidak payah bayar. Percuma kerana sudah ada insan pemurah belanja pelanggan – bukan semua tetapi sehingga habis jumlah yang disedekahkan.

Mulia sungguh hati insan tersebut. Penulis mendoakan agar individu berkenaan dirahmati ALLAH SWT dan dimurahkan rezeki selalu.

Itu cerita rezeki terpijak. Lain pula kisah seorang peniaga kedai makan di Kampung Losong Atap Zin yang mengambil inisiatif menyediakan juadah percuma khusus bagi golongan yang memerlukan ‘bakul rezeki’.

Pemilik kedai makan Mek Jang Cafe, Norharizan Hassan mula menyediakan bungkusan nasi percuma sejak berniaga pada tahun 2018 dan amalan itu diteruskan sehingga kini.

Setiap hari Norharizan menyediakan sebanyak 10 bungkus nasi untuk dimasukkan ke dalam ‘bakul rezeki’. Apa yang menarik, ada juga pelanggan yang turut menyumbang, menjadikan lebih banyak rezeki untuk dikongsi bersama dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Mereka yang datang mengambilnya adalah orang kurang upaya, warga emas, gelandangan dan yang terkesan kerana kehilangan pekerjaan susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Itu cara Norharizan berkongsi rezeki. Siapa sangka usaha kecil itu turut dilihat oleh orang ramai yang akhirnya turut sama menyumbang. ‘Bakul rezeki’ itu semakin berkembang sehingga mencecah sebanyak 25 bungkus sehari.

Sedekah

Sesungguhnya, Islam menuntut umatnya menjadikan sedekah sebagai amalan kerana selain mampu menyucikan diri dan harta, pahala bersedekah akan berkekalan.

Namun, bagi mereka yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain, sedekah menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan dan duit tidak pernah susut jumlahnya. Justeru, penulis kagum dengan mereka yang rajin berkongsi rezeki tanpa mengira apa juga bentuk dan nilainya.

Penulis juga terharu tatkala membaca kisah lapan beradik di Kuala Terengganu sepakat menghadiahkan Proton X50 kepada ibu bapa mereka bagi menggantikan kereta terpakai yang digunakan sejak sembilan tahun lalu.

Ibu bapa mereka hanya mampu membeli kereta terpakai disebabkan mahu berjimat demi menyara lapan orang anak.

Selain berkongsi bayaran ansuran bulanan selama sembilan tahun, Ahmad Fakhrurazi Mohamad, 30, bersama tujuh orang adik-beradiknya akan menanggung kos servis kenderaan baharu tersebut.

Selepas menginjak dewasa, tidak ramai anak yang prihatin dengan keperluan ibu bapa, lantaran sikap mereka yang jarang bersuara atas faktor tidak mahu menyusahkan anak-anak.

Benar, kereta baharu tidak mungkin mampu membalas pengorbanan ibu bapa, namun ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka. Jadi, penulis yakin ibu bapa Ahmad Fakhrurazi pasti bersyukur dengan pemberian anak-anak mereka.

Syabas! Sikap itulah yang patut dicontohi anak-anak. Berkongsilah, jangan kedekut dengan orang sekeliling, apatah lagi dengan ibu bapa sendiri. Jika tidak mampu dengan wang ringgit, sedekahkan apa yang kita ada, sekali pun sekadar kudrat empat kerat dan sepotong doa.

Itu cuma secebis kisah sedekah dan berkongsi rezeki berlegar dalam masyarakat kita yang dipaparkan kepada umum. Penulis percaya banyak lagi amalan berkongsi rezeki dilakukan yang kita tidak tahu.

Ya, bukan mudah untuk kita mengajak orang membuat kebaikan, hatta menghulurkan sebuku roti. Sedekah dan berkongsi rezeki menuntut keimanan serta jiwa yang besar.

Semoga kisah mereka yang membelanja pelanggan kedai makan senyap-senyap, ‘bakul rezeki’ Norharizan dan hadiah kereta lapan beradik untuk ibu bapa menjadi pedoman buat kita semua supaya tidak menjadi orang yang liat untuk berkongsi.

Jom kita sama-sama bersedekah walau hanya dengan satu senyuman.

* Rahayu Mustafa ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu