X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan tanpa parti politik

A
A

Demokrasi menetapkan siapa yang layak bertanding pada pilihan raya boleh berbuat demikian bersandarkan hak manusia dan hak dalam Perlembagaan.

Sejak mencapai kemerdekaan dan memilih sistem demokrasi sebagai sistem pemerintahan negara, muncullah parti politik yang digerakkan oleh mereka yang mempunyai gagasan untuk membentuk sebuah kerajaan berdasarkan ideologi politik masing-masing melalui pilihan raya.

Sistem multi parti politik diamalkan di kebanyakan negara sehingga muncul mereka yang bergiat aktif dalam parti yang ditubuhkan untuk mempengaruhi undi rakyat menyokong parti mereka.

Namun, mereka yang menjadi ahli parti turut bersaing sesama mereka untuk merebut jawatan penting dalam parti agar layak disenarai sebagai calon pilihan raya. Demokrasi menjadi medan persaingan pelbagai puak antara parti dan dalam parti. Ahli politik bertarung untuk merebut jawatan sehingga politik semakin terserlah sebagai medan merebut kuasa atas nama rakyat.

Kemelut politik menjadi sangat rumit apabila ideologi politik bercampur unsur perkauman sehingga lahirnya polarisasi pengundi dalam masyarakat.

Lebih parah, strategi saling menjatuhkan dan membunuh politik lawan dilazimkan serta menjadi lumrah.

Kini yang menjadi persoalan adalah tanggapan dan keyakinan rakyat terhadap ahli politik serta parti politik berada pada tahap paling rendah.

Rakyat jelak dan bosan, ditambah pula mereka terhimpit dengan pelbagai masalah. Kekecewaan rakyat meningkat apabila mandat yang dizahirkan pada pilihan raya dirampas oleh ahli dan parti politik melalui pintu belakang.

Rakyat terpaksa berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19). Mata pencarian terjejas teruk dan keselamatan sosial semakin tidak terjamin. Pada masa yang sama, rakyat menyaksikan pembicaraan kes pemimpin negara pecah amanah, polarisasi dan kesangsian antara kaum meningkat serta isu kos sara hidup yang belum ditangani dengan berkesan.

Namun, ahli politik selesa dengan pelbagai elaun yang lumayan dan hidup selesa. Berhujah di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negeri hanya sekadar menonjol diri agar dilihat juara berbicara tetapi hakikatnya tidak serius merungkai masalah rakyat. Lebih parah apabila ahli politik ghairah kepada percaturan antara parti dan mengolah strategi untuk meraih kuasa.

Dalam kemelut politik yang merimaskan, satu kaedah luar kotak mungkin boleh diusulkan iaitu sebuah kerajaan dibentuk daripada calon pilihan raya yang bukan mewakili parti politik. Kerajaan yang dibentuk dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada ahli profesional, akademik, tokoh masyarakat, agamawan, pesara birokrat dan teknokrat. Mungkinkah anjakan itu mampu memulihkan kegawatan politik yang tidak berkesudahan?

Sememangnya ia tidak mudah kerana negara telah diwarnai politik kepartian sejak pilihan raya diperkenalkan tetapi ia tidak mustahil jika kebuntuan politik antara parti terus merencatkan negara untuk maju ke hadapan.

Sudah sampai masa rakyat tidak menjadi buah dadu yang dipermainkan ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Pilihan raya tidak harus menjadi gelanggang parti politik mempengaruhi rakyat bagi meraih undi dengan strategi kotor.

Mandat rakyat adalah keramat. Jika sokongan rakyat digadaikan hanya kerana kepentingan peribadi dan kepartian sempit, rakyat harus bersedia menarik balik sokongan yang dikhianati.

Malaysia berpotensi maju sebagai negara yang boleh dicontohi dalam mengendalikan sistem demokrasi. Namun, Malaysia juga boleh kecundang jika kefanatikan politik kepartian mengatasi mandat rakyat.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!