Fasa satu BPN 2.0 disalurkan kepada 9.86 juta penerima B40, M40

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembayaran Fasa Pertama Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) sejumlah RM4.5 bilion telah berjaya disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima, merangkumi 7 juta penerima daripada kategori B40 dan 2.86 juta penerima daripada kategori M40, setakat ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tempoh permohonan baharu serta rayuan BPN 2.0 telah berakhir pada 15 November 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin.

“Sehubungan itu, pembayaran Fasa Kedua beserta bayaran kepada permohonan baharu dan rayuan yang lulus akan dibuat dalam bulan Januari 2021,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-29 yang dikeluarkan hari ini.

Bagi Geran Khas Prihatin (GKP) pula, Tengku Zafrul berkata, mereka yang telah membuat permohonan sehingga tarikh tutup 31 Oktober, boleh menyemak status permohonan bermula 27 November manakala pembayaran dijangka bermula pada 30 November.

“Dijangka bahawa 200,000 PKS Mikro layak bakal menerima bantuan one-off (sekali) berjumlah RM3,000 dengan bayaran keseluruhan RM600 juta,” katanya.

Mengenai Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) yang bermula sejak Oktober 2020, beliau berkata setakat 6 November, sebanyak RM122.19 juta telah dibelanjakan bagi membantu 24,762 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan seramai 203,654 pekerja.

Sementara itu, Tengku Zafrul menegaskan kerajaan terus komited untuk memulih dan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi demi memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani sebarang bentuk krisis.

Menurutnya, kerajaan telah menggariskan tiga matlamat utama di bawah Belanjawan 2021 iaitu untuk menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua inisiatif dan program yang telah diumumkan menerusi Belanjawan 2021 dijangka dapat menambah 4 mata peratusan kepada KDNK negara pada tahun hadapan, dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ini merupakan kesinambungan daripada pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin, Penjana dan Kita Prihatin yang telah menyumbang antara 3.7 - 4 mata peratusan kepada KDNK negara tahun ini,” kata Tengku Zafrul.

Dalam laporan itu, beliau juga berkata, mungkin ada wujud tanggapan salah atau persoalan mengenai pelaksanaan moratorium tersebut berdasarkan maklumat yang diterima daripada Bank Negara Malaysia.

Ini termasuk persoalan mengenai bantuan kewangan, bantuan pembayaran semula bersasar, dokumentasi bagi bank-bank, proses permohonan, kadar faedah dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). - Bernama