Bekas pengarah jabatan MPHTJ didakwa palsu minit mesyuarat

Hafizawati (tengah) tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menipu minit mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan dan Perniagaaan tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
Hafizawati (tengah) tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menipu minit mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan dan Perniagaaan tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Bekas Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menipu minit mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan dan Perniagaan tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Hafizawati Ahmad, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Hafizawati didakwa semasa bertugas sebagai Pengarah di Jabatan Perlesenan MPHTJ tidak jujur menggunakan minit mesyuarat yang diketahui palsu iaitu Minit Mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan Dan Perniagaan di Bilik Mesyuarat Hang Tuah pada 10 April 2017 jam 2.30 petang

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Minit Mesyuarat itu bagi mendorong pihaknya mengeluarkan sejumlah wang bernilai lebih RM13,000 sebagai tuntutan pembelian baju T dan apron.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali selain tidak berhubung dengan saksi perbicaraan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti yang dipohon Irwan Shah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula dan serahan dokumen 24 Disember depan.