X

Kindly register in order to view this article
!

Institusi zakat perlu aktifkan media sosial

Dari kiri: Amin, PU Hafiz, Mohd Izhar Ariff dan Ustaz Don Daniyal pada sesi Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pengurusan Zakat: Wajarkah Kita Berprasangka?’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam malam kelmarin.
A
A

SHAH ALAM - Institusi pengurusan zakat di seluruh negara perlu mengaktifkan media sosial masing-masing bagi menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa dan Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, kaedah itu penting agar setiap maklumat dapat disebarkan kepada rakyat supaya tidak timbul sebarang persepsi tidak baik kepada pusat pungutan zakat.

Katanya, sudah tiba masanya institusi penting umat Islam itu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

“Institusi atau lembaga zakat kena proaktif. Sekarang ada Facebook, Instagram, gunakan sebaiknya. Kalau pergi agihkan zakat kena ambil gambar untuk letak di laman sosial.

“Kita lakukan ini (muat naik aktiviti dalam laman sosial) bukan untuk menyombong (menunjuk-nunjuk) sebaliknya ia tanggungjawab kita untuk dokumentasikan (penyampaian zakat) kerana kita ingin tunjuk kepada pembayar zakat bahawa wang zakat yang mereka bayar telah diserahkan kepada penerima yang layak.

“Jadi, saya hendak mengajak semua institusi zakat agar proaktif dan hidupkan media sosial masing-masing,” katanya pada Wacana Sinar Harian siri ke-209 bertajuk ‘Pengurusan Zakat: Wajarkah Kita Berprasangka?’ di Kumpulan Karangkraf di sini malam kelmarin.

Wacana dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang itu menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengurus Besar KUISCELL Sdn Bhd, Ustaz Don Daniyal dan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), PU Hafiz, manakala Amin Idris sebagai moderator.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan wujudnya kerenah birokrasi dalam pengurusan institusi zakat sehingga menyusahkan rakyat untuk mendapatkan bantuan, beliau berkata perkara itu sentiasa ditambah baik.

Katanya, secara dasarnya setiap institusi atau lembaga zakat dari masa ke masa berusaha memudahkan urusan orang ramai, namun pada masa yang sama rakyat perlu sedar bahawa ada syarat atau garis panduan untuk dipatuhi bagi mengelak sebarang unsur penipuan.

“Saya faham memang pihak institusi zakat akan sentiasa periksa (permohonan) kerana ada golongan yang menipu dan cuba ambil kesempatan. Sebab itu mereka perlukan dokumen tertentu.

“Jadi, birokrasi bukan hendak susahkan pemohon tetapi untuk kita amanah dengan duit orang yang bayar zakat,” katanya.

Mohd Izhar Ariff
Mohd Izhar Ariff

Percaya

Dalam pada itu, PU Hafiz berkata, masyarakat harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada institusi zakat di negeri masing-masing dalam mengutip dan mengagihkan zakat kepada mereka yang layak.

Menurutnya, setiap wang zakat yang dikeluarkan akan diberikan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

“Zakat adalah ibadah istimewa yang mana kekayaan itu diagihkan dan tidak dibekukan kepada satu golongan sahaja. Ini antara hikmah zakat yang terbesar.

“Ringkasnya, saya boleh katakan bahawa hari ini jabatan agama Islam, majlis agama Islam (di seluruh negara) sudah menambah baik pengurusan zakat.“Sebagai contoh di Pulau Pinang, kita dapat lihat RM49 juta setiap tahun (diperuntukkan) untuk pembangunan asnaf zakat.

“Jadi kita dapat lihat hari ini pengurusan zakat itu ditambah baik. Sebab itulah setiap tahun nilai kutipan wang zakat melonjak,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memahami bahawa zakat akan diagihkan sebaik mungkin kepada mereka yang berhak.

“Percayalah kepada lembaga-lembaga zakat di seluruh Malaysia sebab mereka telah menambah baik pengurusannya dan dapat agihkannya dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Don Daniyal berkata, semua institusi zakat disyorkan melantik jurucakap bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai zakat di negeri masing-masing.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan institusi tersebut beroperasi seperti sebuah perniagaan yang besar.

Ustaz Don Daniyal
Ustaz Don Daniyal

Jurucakap

“Kebanyakan perniagaan besar bergerak maju kerana mereka ada jurucakap, maka sudah sampai masanya institusi zakat juga ada jurucakap.“Semua kena faham bahawa institusi zakat ini terdiri daripada golongan alim seperti mufti dan fokus mereka adalah terhadap perkara-perkara penting.

“Sebab itulah sudah tiba masa untuk pusat-pusat zakat mempunyai jurucakap yang akan memainkan peranan menyebarkan maklumat yang lebih difahami dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat atau institusi zakat negeri-negeri boleh mencontohi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan yang telah mempelopori aspek tersebut.

“Kena belajar daripada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka ada ramai jurucakap yang akan bercakap bagi pihak pusat zakat.

“Itu adalah trend sekarang. Orang lebih percaya kepada tokoh-tokoh (yang menyampaikan maklumat),” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!