Warga asing ke Malaysia jumpa pasangan perlu biaya kos kuarantin

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga asing yang ingin masuk ke negara ini untuk bertemu pasangan yang terdiri daripada warga tempatan perlu menyediakan wang secukupnya bagi membiayai kos di pusat kuarantin, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengambil maklum perkara itu, beliau berkata kos tersebut tertakluk di bawah Aku Janji MyTravelPass (MTP) yang ditetapkan sebelum ini.

“Apabila permohonan dibuat, mereka sudah isi Aku Janji untuk menanggung kos pusat kuarantin.

“Saya harap mereka yang buat permohonan untuk pulang bertemu pasangan di Malaysia menyediakan wang secukupnya untuk membiayai kos pusat kuarantin,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, tiada halangan bagi warga asing memasuki negara ini untuk bertemu pasangan dengan syarat memohon secara sah dan menjalani kuarantin selama 14 hari terlebih dahulu sebelum bertemu keluarga masing-masing.

Permohonan boleh dibuat melalui MTP di pautan http://www.mtp.imi.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: