'Bentuk kerajaan sementara jika Belanjawan 2021 ditolak'

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sekiranya Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen pada 26 November ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, semua jawatan Menteri juga gugur secara automatik dan kerajaan sedia ada tumbang, manakala belanjawan sulung kerajaan PN itu pula lupus di Dewan Rakyat.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, belanjawan nasional itu sama sekali tidak boleh dibawa ke Dewan Negara, malah tidak boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

"Jika senario ini benar-benar berlaku, jalan penyelesaiannya adalah Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri baharu. Sebuah Kabinet dengan jemaah Menteri akan terbentuk dan sebuah kerajaan baharu akan ditubuhkan.

"Perdana Menteri baharu perlu segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menasihati Seri Paduka Baginda supaya sidang khas Parlimen dipanggil seawal Disember ini untuk meluluskan belanjawan di bawah Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan berkata, langkah tersebut perlu kerana kerajaan baharu ada peruntukan wang untuk membayar gaji atau emolumen kakitangan awam, membayar barisan hadapan dan untuk operasi kerajaan.

Menurutnya, Muhyiddin tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat seluruh Malaysia setelah belanjawan itu ditolak sebaliknya menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Seri Paduka Baginda.

"Apabila Belanjawan 2021 Kerajaan PN ditolak di Dewan Rakyat itu bermakna Ahli Parlimen Pagoh itu sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Beliau sudah tidak ada locus standi sebagai seorang Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Belanjawan 2021 mesti diluluskan: Pengarah Belanjawan Negara

Pas harap pembangkang sokong Belanjawan 2021