X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021 mesti diluluskan: Pengarah Belanjawan Negara

Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat perlu meluluskan Belanjawan 2021 bagi membolehkan kerajaan menjalankan usaha-usaha menangani penularan pandemik Covid-19 selain memastikan kelangsungan operasi sedia ada tidak terjejas.

Ketika menegaskan perkara itu, Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican berkata, ini penting memandangkan negara tidak mampu untuk mewujudkan risiko terhadap usaha terbabit sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Malah, katanya, tindakan tidak meluluskan belanjawan tersebut akan turut mengundang beberapa implikasi termasuk kekangan perbelanjaan kerajaan bermula Januari 2021.

"Ia bukan sahaja (membabitkan) isu barisan hadapan menangani Covid-19 tetapi juga operasi dan perkhidmatan agensi-agensi kerajaan lainnya.

"Oleh itu, adalah penting untuk Belanjawan 2021 ini diluluskan dan dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan usaha memerangi Covid-19 selain pemulihan ekonomi yang lancar demi kesejahteraan rakyat untuk mendapatkan peluang pekerjaan serta pendapatan," katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Sesi pengundian Belanjawan 2021 dijangka dijalankan pada 25 November ini.

Selain itu Johan berkata, kerajaan telah mengimbangi aspek kesihatan, kehidupan serta mata pencarian rakyat ketika merangka Belanjawan 2021.

Menurutnya, ini penting kerana penyediaan belanjawan tersebut perlu melibatkan sumber yang mencukupi untuk memastikan usaha-usaha yang dirancang tidak terjejas dan kegiatan ekonomi dapat dijalankan.

Atas dasar itu, fokus telah diberikan terhadap golongan rentan atau mudah terjejas dan pada masa sama tidak mengabaikan golongan M40 demi kelangsungan kehidupan mereka.

Beliau berkata, ini termasuk mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 9.0 peratus daripada 11 peratus bermula Januari 2021 untuk meningkatkan pendapatan boleh guna ahli-ahli KWSP. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021 tumpu aspek kelangsungan ekonomi: Tengku Zafrul

Peruntukan JASA: Anwar simpati dengan Tengku Zafrul


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!