RCEP harapan Malaysia capai pemulihan ekonomi lebih cepat

Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang cukup besar dengan kesemua ekonomi yang menandatangani RCEP.
Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang cukup besar dengan kesemua ekonomi yang menandatangani RCEP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) iaitu perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia yang dimeterai baru-baru ini, akan menyaksikan penghasilan kerangka kerja untuk kerjasama dan harapan ke arah pemulihan ekonomi yang lebih awal.

Pengerusi pengasas Malaysia Global Business Forum (MGBF), Nordin Abdullah berkata, Malaysia, yang kini berada di kedudukan ke-25 dari segi eksport seluruh dunia, mempunyai hubungan perdagangan yang cukup besar dengan kesemua ekonomi yang menandatangani RCEP dan ini pastinya akan memberikan Malaysia kelebihan semula jadi.

Beliau berkata, daripada 15 rakan dagangan utama Malaysia, 10 negara menandatangani RCEP, yang memberikan peluang baik untuk Malaysia kerana terdapatnya hubungan dagangan dan pelaburan merentas sempadan sedia ada yang cukup kukuh.

"Pusat kejayaan utama RCEP ialah ASEAN. Perkumpulan 10 negara yang memulakan perjalanan secara bersama sejak 53 tahun lalu akan menjadi enjin pertumbuhan meskipun ekonomi yang jauh lebih besar seperti China, Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand dilihat membawa sejumlah besar pengeluaran, modal dan populasi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Selain itu, Nordin yang juga bekas Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) berkata, perniagaan Malaysia seharusnya melihat situasi ini sebagai peluang untuk pengembangan antarabangsa dan pengukuhan domestik dan pada masa sama, mengambil kesempatan di atas penguasaan pasaran sedia ada untuk bekerjasama dengan firma, idea dan modal baharu untuk mengembangkan pendapatan di Malaysia.

"Inilah waktunya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bangkit dan menonjol kerana peraturan permainan akan berubah.

“Pada masa sama, ini bermakna Malaysia kini bertaruh dalam permainan yang lebih terbuka dalam liga yang lebih besar. Inilah peluang untuk Malaysia meningkatkan kedudukan kompetitif negara, pemangkin untuk menarik pelaburan asing dari negara yang tidak menandatangani RCEP, tetapi berhasrat memanfaatkan pengaturan perdagangan baharu ini,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: RCEP sokong kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan pilihan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nordin berkata, strategi pengembangan antarabangsa harus merangkumi kerjasama antara syarikat utama dengan PKS yang menjurus kepada inovasi dan kecekapan, sementara syarikat yang lebih besar pula menyediakan kekuatan sumber dan kuasa yang diperlukan untuk menembusi pasaran baharu.

Beliau berkata, ia akan mengambil beberapa tahun untuk RCEP mula berkuat kuasa dan waktu inilah patut digunakan untuk mempersiapkan diri bagi sebarang jurang potensi yang perlu ditangani oleh syarikat Malaysia, termasuk memahami impak terhadap hartanah intelektual dan peraturan dalam persekitaran ekonomi digital.

"Walaupun halangan dapat dikurangkan, masih ada syarat untuk meningkatkan hubungan kerajaan dan pemahaman yang lebih mengenai kerangka kerja peraturan serta merapatkan jurang bahasa dan budaya.

“Selain itu, program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia untuk kemahiran dan peningkatan kemahiran bagi mereka yang terkesan oleh koronavirus (Covid-19) perlu diselaraskan dengan realiti baharu yang akan diterapkan oleh RCEP,” katanya. - Bernama