Wang terkumpul akan digunakan hingga kes saman selesai

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Wang terkumpul untuk kes saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akan digunakan untuk membayar kos guaman sehingga kes tersebut selesai.

Bendahari Pas, Razman Zakaria berkata, meskipun kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah namun masih terdapat beberapa pembayaran perlu dijelaskan.

Menurutnya, kes itu belum selesai sepenuhnya kerana Abdul Hadi dan Rewcastle-Brown baharu mencapai persetujuan awal.

“Kalau mengikut keperluan, selepas ini akan ada proses-proses lain pula. Jumlah RM400,000 dikumpul sebelum ini adalah untuk membayar bil sebelum ini.

“(Ada lagi bayaran tertunggak?) Ada lagi, wang itu akan digunakan untuk urusan pergi balik peguam kita, urusan dokumentasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Clare puas hati kes saman Pas selesai luar mahkamah

“Bukan habis (kes saman) lagi, itu baharu persetujuan awal,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Adun Gunung Semanggol itu, wang terkumpul sebelum ini telah digunakan untuk membayar segala kos perundangan membabitkan kes saman tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Proses sebelum ini, atas keperluan kita kumpulkan, kita hantar dan beri kepada peguam,” ujarnya.

Sementara itu, Razman mengakui beliau berpuas hati dengan keputusan Abdul Hadi yang memutuskan untuk menyelesaikan kes saman itu di luar mahkamah.

Menurutnya, beliau tidak berasa Pas dikira kalah selepas membuat keputusan sedemikian.

“Keputusan itu bagus, Alhamdulillah. Perkara itu bukan menimbulkan apa-apa faedah pun tapi demi maruah, kita perlu ambil tindakan

“Dia bukan kalah, dia sama-sama. Clare (Rewcastle-Brown) pun, dia tak tahan juga dengan kos sebab kos di London tinggi,” katanya.

Hari ini, Abdul Hadi memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman beliau kepada Rewcastle-Brown berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 mendakwa beliau menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata, ketetapan itu dibuat melalui Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen’s Bench Division).

Menurutnya, Abdul Hadi membuat keputusan menarik balik tuntutan kepada Rewcastle-Brown dan editor tersebut juga menarik balik Tuntutan Balas terhadap Ahli Parlimen Marang itu.

“Tiada perintah berkenaan kos (no order as to costs) dan kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.