Najib gesa KWSP perluas skim i-Sinar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berterima kasih kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mewujudkan skim i-Sinar untuk membenarkan pencarum mengeluarkan duit daripada Akaun 1.

Bagaimanapun, beliau meminta KWSP memperluaskan lagi skim i-Sinar itu kepada golongan yang pendapatan mereka telah turun mendadak akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dengan membuka skim terbabit kepada sesiapa yang pendapatannya terjejas.

Menurutnya, ini kerana syarat kelayakan untuk skim itu hanya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau sudah tiada sumber pendapatan.

"KWSP menganggarkan hanya 2 juta ahli sahaja akan menerima manfaat daripada skim i-Sinar dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM14 bilion.

"Ini berbeza dengan anggaran saya di mana 4.7 juta ahli akan mengeluarkan jumlah sehingga maksima RM47 bilion," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, KWSP perlu faham bahawa ia tidak boleh hanya mensasarkan kepada pencarum yang hilang pekerjaan sahaja.

"Ini kerana, golongan paling besar yang terjejas adalah individu yang pendapatan bulanan mereka berkurangan akibat gaji dipotong, service points/komisien berkurangan serta jumlah hari bekerja atau kerja lebih masa dipotong.

"Ramai pekerja tidak boleh hidup dengan hanya bergantung kepada gaji asas sahaja. Pendapatan bulanan mereka turun tetapi komitmen dan tanggungan bulanan mereka tetap tinggi. Jadi golongan ini perlu diambil kira juga, jangan dicicirkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Pencarum terjejas boleh keluar akaun satu KWSP hingga RM60,000

MEF sambut baik langkah KWSP benar keluarkan akaun satu

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, KWSP tidak boleh terlalu bersyarat kerana tidak mahu skim i-Sinar menjadi skim i-Die bagi golongan yang tidak layak hanya sebab mereka tidak hilang kerja walaupun amat terdesak setelah pendapatan mereka terjejas akibat Covid-19.

"Biarkan lebih banyak dana mengalir ke kitaran wang ekonomi tempatan sebab bajet tahun 2021 hanya 2.5 peratus lebih tinggi berbanding bajet tahun 2019 yang tiada krisis Covid-19.

"Jangan sampai ramai yang sengaja berhenti kerja atau sengaja dibuang kerja sebab mereka mahu layak untuk memohon skim i-Sinar," ujarnya.