MEF sambut baik langkah KWSP benar keluarkan akaun satu

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik langkah terbaharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan pengeluaran akaun satu sehingga RM60,000 kepada pencarum terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, inisiatif itu suatu tindakan baik kerana ia dikhususkan kepada golongan terjejas seperti yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

“Ini adalah satu bantuan yang baik dilakukan pihak kerajaan kepada mereka yang pendapatannya terjejas.

“Adalah elok sekiranya mereka gunakan wang yang ada, walaupun itu sebenarnya untuk simpanan hari tua kerana mereka tetap perlu mengganti semula jumlah pengeluaran yang dibuat setelah kembali mendapat pekerjaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau juga percaya bahawa kesemua pencarum yang membuat keputusan untuk membuat pengeluaran tersebut akan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

“Saya percaya ahli-ahli KWSP akan menggunakan peluang tersebut bagi melunaskan keperluan mereka,” katanya.

Hari ini, KWSP mengumumkan bahawa pencarum yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dibenarkan untuk mengeluarkan wang daripada akaun satu sehingga RM60,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, kemudahan menerusi program i-Sinar itu bakal memberi manfaat kepada dua juta ahli dengan anggaran sebanyak RM14 bilion kepada mereka yang layak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020 dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar itu perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan melalui proses yang akan ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Pencarum terjejas boleh keluar akaun satu KWSP hingga RM60,000