X

Kindly register in order to view this article
!

527 suspek kes ragut ditahan

Statistik jenayah ragut mencatatkan penurunan sebanyak 47.65 peratus dalam tempoh 1 Januari hingga Ahad lalu. (Gambar hiasan) - Foto 123RF Gambar kecil: Huzir
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 527 suspek kes ragut berjaya ditahan oleh pihak berkuasa sejak 1 Januari hingga Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, bagaimanapun, jumlah tersebut menurun berbanding tempoh sama tahun lalu apabila seramai 893 suspek ditangkap melibatkan jenayah terbabit.

Menurutnya, statistik jenayah ragut juga mencatatkan penurunan sebanyak 47.65 peratus dalam tempoh tersebut dengan 1,160 kes jenayah ragut dilaporkan berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 2,216 kes.

"Sebanyak 56,117 kes jenayah yang dilaporkan bagi tempoh 1 Januari hingga Ahad lalu turut mencatat penurunan sebanyak 23 peratus, berbanding 72,836 kes dalam tempoh kajian yang sama pada tahun lalu," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, menurutnya, walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif, demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

"PDRM juga menasihatkan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya membuat, berkongsi, menularkan sebarang berita atau gambaran salah dan tidak tepat berkenaan trend jenayah atau kes-kes jenayah yang tidak disokong dengan fakta yang sahih daripada pihak berkuasa.

"Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh membangkitkan kegusaran masyarakat malah mampu menimbulkan persepsi yang salah terhadap badan penguat kuasa, khususnya PDRM," katanya.

Huzir berkata, pihaknya sedia maklum berhubung wujudnya kerisauan di kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan kes jenayah akibat pandemik koronavirus (Covid-19) berikutan ramai orang kehilangan pekerjaan.

"Masyarakat menjadi bertambah gusar apabila wujud berita-berita yang ditularkan mengenai trend jenayah ragut di negara ini, sepertimana video yang dikesan di media sosial dan turut tular di WhatsApp," katanya.

Tambah beliau, dakwaan bahawa kes jenayah di negara ini menunjukkan peningkatan disebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 juga adalah tidak benar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!