Jumlah kekosongan jawatan di sektor swasta merosot

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 179,000 kekosongan jawatan ditawarkan sektor swasta pada suku ketiga 2020, ia lebih rendah daripada tempoh yang sama tahun lepas yang berjumlah antara 198,000 hingga 218,000 tawaran pekerjaan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kekosongan jawatan pada suku itu meningkat sedikit kepada 2.1 peratus daripada 2 peratus pada suku pada 2020.

“Secara keseluruhannya, pembukaan semula lebih banyak perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan mulai Jun, 2020, menyaksikan peningkatan kecil dalam permintaan buruh pada suku ketiga 2020, berikutan perniagaan masih dalam fasa penyesuaian dan belum beroperasi pada tahap maksimum.

“Dengan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan perancangan ekonomi jangka pendek oleh kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) akan meningkatkan kelangsungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Statistik ini diterbitkan dalam laporan Statistik Guna Tenaga Suku Ketiga 2020 berdasarkan Tinjauan Guna Tenaga yang dilakukan kepada perniagaan berdaftar sektor swasta, ia turut membentangkan statistik permintaan buruh merangkumi jawatan, jawatan diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Mohd Uzir berkata, daripada keseluruhan kekosongan jawatan pada suku ketiga tahun ini, 55.7 peratus adalah kategori jawatan separuh mahir manakala jawatan mahir merangkumi 22.7 peratus.

Lebih separuh kekosongan jawatan berada di sektor Pembuatan (56 peratus), sebahagian besarnya di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik, katanya.

“Bilangan jawatan meningkat sebanyak 88,000 kepada 8.5 juta jawatan berbanding 8.4 juta pada suku kedua, kadar pengisian jawatan pada suku ini adalah 97.9 peratus daripada 98 peratus pada suku kedua 2020 bersamaan dengan 8.3 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, melihat kepada komposisi jawatan diisi mengikut kategori kemahiran, sebahagian besarnya adalah kategori separuh mahir dengan sumbangan 62.5 peratus (5.2 juta) manakala jawatan kategori mahir meliputi 24.4 peratus (2.0 juta).

“Sejumlah 1.5 juta jawatan diisi (52.5 peratus) tertumpu dalam sektor perkhidmatan diikuti pembuatan (26.0 peratus) dan pembinaan (15.2 peratus). Selebihnya di pertanian (5.4 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (1.0 peratus),” katanya.

Selain itu, sebanyak 21,000 jawatan baharu diwujudkan di sektor swasta pada suku ini berbanding 13,700 jawatan pada suku sebelumnya. Majoriti pewujudan jawatan adalah kategori separuh mahir yang merangkumi 62.9 peratus manakala kategori mahir meliputi 28.1 peratus (5.900).

Mengikut aktiviti ekonomi, sejumlah 42.9 peratus atau 9,000 jawatan baharu diwujudkan di sektor pembuatan, terutamanya di subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta produk elektrik, elektronik dan optikal.

Sementara itu, 38.9 peratus (8,100 ) daripada jawatan baharu yang diwujudkan adalah di sektor perkhidmatan, terutamanya di subsektor perdagangan borong dan runcit serta kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan, katanya.

Pelaksanaan Banci Malaysia 2020 fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September 2020 secara dalam talian (e-Census) telah dilanjutkan sehingga 21 Disember 2020 manakala fasa kedua akan bermula pada 20 Januari hingga 6 Februari 2021 dengan menggunakan kaedah temuramah bersemuka,

Mohd Uzir berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan kejayaan bancian.

Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020. - Bernama