Yadim gesa ABPBH dibatalkan

A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menggesa penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang dijadualkan berlangsung esok dibatalkan.

Yadim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima banyak pandangan dan respons yang menggesa agar program berbentuk hiburan ketika ini tidak diutamakan pihak berkuasa.

“Yadim menggesa agar ABPBH yang dijadualkan diadakan esok dibatalkan penganjurannya dan diganti dengan rancangan lain yang lebih sesuai di saat negara ketika ini sedang berusaha keras mengawal penularan Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pembatalan program hiburan itu melambangkan ketegasan kerajaan membendung penularan Covid-19 dengan tidak membenarkan sebarang perhimpunan besar-besaran.

Justeru katanya, Yadim telah menghantar satu surat kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) hari ini meminta rancangan berkenaan dibatalkan.

Wakil Yadim (kanan) menghantar surat bantahan kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Mohamad Iqbal Mahashim di pejabatnya di Putrajaya hari ini. - Foto Facebook Yadim
Wakil Yadim (kanan) menghantar surat bantahan kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Mohamad Iqbal Mahashim di pejabatnya di Putrajaya hari ini. - Foto Facebook Yadim

Hari ini juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Saifuddin Abdullah bagi berkongsi buah fikiran dan pandangan beliau berhubung penganjuran program hiburan yang tular kebelakangan ini.

Dr Zulkifli antara lain menjelaskan pendirian Islam yang tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah satu bentuk pendekatan yang amat baik.