Bagaimana dapatkan air ketika gangguan air?

Lebih 1.13 juta pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor akibat dari pencemaran Sungai Selangor baru-baru ini.
Lebih 1.13 juta pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor akibat dari pencemaran Sungai Selangor baru-baru ini.
A
A
A

PERNAHKAH anda terfikir bagaimana untuk mendapatkan air ketika berlaku gangguan air? Atau tidak ada sumber air tawar seperti tasik, sungai, kolam, dan lain-lain di kawasan anda?

Caranya adalah dengan mendapatkan air dari tanah. Oleh itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan menerangkan, bagaimana ‘air bawah tanah’ boleh menjadi sumber air yang penting kepada masyarakat dan pembangunan lestari.

Air bawah tanah adalah sumber air tawar terbesar di dunia. Walaupun begitu, kebanyakannya tidak dapat dilihat kerana berada di bawah permukaan bumi sebagai ‘aquifer’, yang difahami oleh ahli geologi.

Air bawah tanah boleh diperolehi dengan cara menggerudi atau menggali telaga seperti telaga tiub. Air tanah hendaklah dipam dengan kadar luahan optimum, iaitu kadar yang perlu ditentukan melalui beberapa kaedah penentuan luahan selamat.

Kebanyakan air yang digunakan oleh manusia adalah berpunca daripada sungai, iaitu badan air yang boleh dilihat dan dipanggil air permukaan.

Ketika tiada hujan, sungai masih boleh dilihat kerana air tanah memberikan input secara langsung kepada sungai melalui paras yang dipanggil ‘water table’ dan aliran dasar.

Air bawah tanah, sekiranya digunakan dengan kaedah yang betul, adalah lebih murah, lebih mudah dan kurang terdedah kepada pencemaran berbanding air permukaan seperti sungai.

Oleh itu, ia digunakan sebagai salah satu sumber air penting di negara-negara maju seperti di negara Eropah, United Kingdom termasuk negara Asia seperti Jepun, Korea, India, Pakistan dan juga Australia, termasuklah air zamzam di Makkah yang diambil daripada air tanah, dan mempunyai kualiti yang sangat baik.

Artikel Berkaitan:

Terdapat bandar-bandar besar di dunia, yang menggunakan air tanah sehingga 70 peratus daripada keseluruhan pengunaan air untuk tujuan bekalan. Contoh lain adalah di Kelantan, yang kebanyakan penduduk mempunyai telaga untuk kegunaan rumah sendiri.

Ketika berlakunya krisis air seperti ketika ini, semua orang akan bertanya, "Bagaimana ini terjadi?" Ya, ia boleh berlaku sekiranya sumber itu diperoleh daripada satu punca.

Kunci untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mempelbagaikan sumber air di kawasan anda, salah satunya adalah air tanah. Sekiranya satu sumber air terputus, anda masih lagi mempunyai sumber lain.

Pepatah Inggeris ada mengatakan, ‘Don’t put all your eggs in one basket’. Jika diperhatikan di Malaysia, kawasan penduduk yang mempraktikkan penggunaan telaga tiub, mereka tidak menghadapi masalah ketika berlakunya gangguan bekalan air.

Kebanyakan industri yang menggunakan air tanah juga, boleh meneruskan operasi seperti biasa ketika berlaku gangguan bekalan air utama yang lain.

Selain itu, perubahan iklim juga tidak memberikan kesan langsung kepada air tanah kerana air ini berada di bawah permukaan, dan boleh digunakan untuk menyedia atau menambah bekalan air pada waktu musim kering.

Air bawah tanah akan menjadi semakin penting sebagai sumber air seiring dengan perkembangan pembangunan, peningkatan populasi dan paling penting dalam menghadapi musim kemarau dan perubahan iklim yang mendatang.

Namun, penekanan wajib diberikan kepada aspek pelaksanaan dan pengurusan air bawah tanah yang sistematik, berkesan dan mantap, merangkumi agensi di peringkat negeri seperti Badan Kawal Selia Air Negeri yang menguatkuasakan enakmen negeri, dan bekerjasama dengan agensi persekutuan seperti JMG, yang akan melihat dalam aspek teknikal secara serantau merentasi negeri, melalui khidmat kepakaran bidang kajibumi air (hidrogeologi).

Tidak cukup sekadar rancangan pengurusan, model air bawah tanah menggunakan data lapisan tanah bawah permukaan perlulah dilakukan, mengambil kira impak perubahan iklim dan juga risiko bencana geologi seperti pencemaran air tanah dan pemendapan tanah sekiranya tiada pengurusan dan pemantauan teknikal air bawah yang betul.

Buat masa ini, JMG melalui projek-projek yang dijalankan telah membangunkan telaga tiub di kawasan terjejas di seluruh negara, untuk kegunaan orang ramai, serta pada masa yang sama, menjalankan kajian untuk mengetahui potensi air bawah tanah dan juga risiko bencana geologi.

Selain itu, JMG juga telah menyediakan garis panduan berkenaan air tanah yang boleh dirujuk, bagi memastikan penggunaan air bawah tanah yang lestari dan selamat.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat berkenaan air tanah, boleh berhubung dengan pejabat JMG yang terdapat di negeri atau boleh ke lawab web JMG.

* Nicholas Jacob ialah Pengarah JMG Selangor/W.P dan Wan Neqhaikal Wan Abdul Karim ialah Hidrogeologist JMG Selangor/W.P