KL bebas berniaga: Annuar Musa perlu beri panduan jelas

Kenyataan media yang dikeluarkan PKR Wilayah Persekutuan hari ini, Zahir Hassan - Foto FB Zahir Hassan
Kenyataan media yang dikeluarkan PKR Wilayah Persekutuan hari ini, Zahir Hassan - Foto FB Zahir Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diminta memberikan garis panduan yang lebih jelas berhubung rancangannya untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai ‘Wilayah Bebas Berniaga’.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan berkata, sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar seharusnya lebih bertanggungjawab dalam usahanya membantu rakyat untuk berniaga dan mencari sumber rezeki secara sah dan selamat.

“Adakah YB Menteri tidak sedar dan tidak tahu wujudnya undang-undang dan peraturan berkaitan termasuk akta seperti Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai, Undang-Undang Kecil Pasar dan enam akta-akta lain?

“Kalaupun hendak memudahkan warga kota untuk berniaga, infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik perlu disediakan bagi menjaga hak kesemua pemegang taruh.

“Bukan sahaja peniaga, bahkan juga hak kejiranan dan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahir berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira faktor kesihatan peniaga, pekerja, serta pelanggan yang terlibat sekiranya langkah berkenaan dikuatkuasakan.

ARTIKEL BERKAITAN 'Boleh buka gerai di mana-mana kawasan sesuai di KL'

Menurutnya, langkah-langkah pencegahan merebaknya penyakit juga perlu ditekankan termasuk keperluan suntikan imunisasi seperti imunisasi penyakit kepialu.

“Dalam keadaan kita sedang menghadapi wabak Covid-19 ini, kita tidak perlu kepada kemungkinan wujudnya satu lagi wabak penyakit yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Pencemaran persekitaran dan bau juga boleh berlaku jika tiada garis panduan yang jelas. Sebagai contoh, peniaga yang menjual ayam mentah mungkin menyalirkan air serta sisa-sisa ke parit perumahan yang pastinya memberi ketidakselesaan kepada kejiranan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Annuar tidak seharusnya berfikiran singkat dan bertindak hanya semata-mata bagi menambahkan sokongan rakyat kepadanya.

“Kemungkinan YB Menteri ingin menjadi popular dan menambah sokongan, akan tetapi kenyataan menteri ini memang tidak bertanggungjawab.

“Ya, memang sokongan perlu diberikan kepada rakyat untuk berniaga tetapi berhentilah daripada bertindak untuk jadi popular semata-mata tetapi sebenarnya membawa kesengsaraan rakyat dalam jangka masa panjang,” katanya.

Justeru, beliau menuntut supaya Annuar membentangkan sebuah perancangan yang menyeluruh dan pendekatan yang lestari dalam usaha membantu rakyat berniaga.

Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa Wilayah Persekutuan akan menjadi 'Wilayah Bebas Berniaga' selama enam bulan bermula 15 November ini.

Dalam laporan tersebut, Annuar berkata, inisiatif itu dibuat bagi meringankan beban warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).