Cadang tawar ganjaran galak masyarakat isi e-Banci

Mohd Daud Bakar
Mohd Daud Bakar
A
A
A

SHAH ALAM – Pemberian ganjaran dilihat satu cara dapat menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut sama menjalankan tanggungjawab mereka mengisi Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020).

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, cadangan itu dilihat dapat menarik minat masyarakat sekali gus membantu pihak berkenaan mengumpulkan data secara komprehensif.

Menurutnya, data berkenaan penting bagi membantu negara dalam menyusun keperluan dan merencana masa hadapan rakyat yang lebih baik.

“Kalau boleh berikan sedikit insentif kepada rakyat. Misalnya pemberian data internet percuma kepada mereka yang sudah mengisi banci berkenaan.

“Pihak berkenaan juga boleh menyediakan permainan (game) yang menarik serta sesuai bagi menggalakkan lagi penyertaan masyarakat. Jika di United Kingdom, kerajaannya menyediakan ‘hadiah’ kepada sesiapa yang mengisytiharkan cukai pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Dalam program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Pendataan: Sumber ekonomi negara’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf semalam.

Dalam wacana berkenaan beliau bergandingan dengan Ketua Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sebagai panelis dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang membacakan surah al-Kahf.

Mohd Daud berkata, rakyat perlu bertanggungjawab dalam membantu mengisi e-Banci kerana ia memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita jangan mengambil enteng tentang kepentingan data. Bantulah e-Banci untuk sama-sama tampil ke hadapan dengan memberikan sumbangan terbaik kita.

“Siapkan data kita sebab ini membantu kita melaksanakan perkara penting dan terpenting dalam kehidupan kita. Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat pastinya memerlukan keputusan yang dibuat dengan betul serta berasaskan bukti dan fakta menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengumpulan data perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan input diperoleh tepat.

“Jadikan data berkala, bukan diambil 10 tahun sekali. Penggunaan teknologi tinggi juga boleh membantu meningkatkan pengumpulan data,” katanya.