X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir kilat: Longgok sampah tepi jalan

Almari dan tilam yang dibuang penduduk
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Almari, set kerusi, meja dan tilam menjadi sebahagian barangan yang paling banyak dibuang mangsa banjir kilat yang berlaku Selasa lalu di beberapa kawasan di Seremban.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Batu 3 Mambau di sini semalam mendapati hampir di sepanjang jalan ke kampung itu dilonggokkan dengan pelbagai sampah kebanyakannya perabot yang terpaksa dibuang akibat rosak ditenggelami air.

Penduduk juga dilihat masih sibuk membersihkan kawasan rumah masing-masing meskipun sudah hampir seminggu selepas tragedi banjir kilat itu berlaku.

Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Muhammad Yusof Ahmad mengharapkan penduduk dapat bersabar kerana kerja-kerja pembersihan dan mengangkut sisa buangan sedang dilakukan SWM Environment Sdn Bhd.

"Kerja-kerja pembersihan dilakukan secara berperingkat kerana banyak kawasan terjejas termasuk Taman Happy, Taman Moksum, Kampung Dato Mansor, Kampung Batu 3 Mambau dan Kampung Mantau Indah.

"Kami sudah menggerakkan semua jentera yang ada dan dijangkakan kerja-kerja mengangkut sampah pasca banjir kilat ini akan selesai minggu ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pekerja SWM Environment Sdn Bhd mengangkut sampah menggunakan jengkaut
Pekerja SWM Environment Sdn Bhd mengangkut sampah menggunakan jengkaut

Menurutnya, perabot menjadi sampah yang paling banyak dibuang penduduk iaitu almari, set kerusi, meja dan tilam.

"Saya nak ingatkan penduduk supaya dapat meletakkan barangan yang ingin dilupuskan di depan rumah masing-masing bagi kawasan yang mudah dimasuki jengkaut dan mereka juga diminta tidak membakar barangan yang dibuang itu," katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Shahrizan Baharum, 40, mengakui dia terpaksa membuang lima set bilik tidur di rumahnya kerana perabot itu rosak selepas kediamannya dinaiki air lebih dua meter.

Katanya, kejadian itu disifatkan sebagai banjir terburuk pernah berlaku di kawasan itu yang mengakibatkan dia mengalami kerugian dianggarkan RM10,000.

"Bila barangan kayu ini kena air semuanya akan rosak dan tak boleh diselamatkan lagi, jadi kami terpaksa buang sahaja," katanya.

Situasi sama turut berlaku kepada Nor Azah Omar, 48, yang terpaksa membuang tilam, bantal dan barangan elektrik rosak termasuk dua motosikal anaknya turut mengalami nasib sama.

Kelihatan sampah di sepanjang jalan di Kampung Batu 3 Mambau
Kelihatan sampah di sepanjang jalan di Kampung Batu 3 Mambau


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!