Pembangunan di bukit batu kapur perlu rujuk garis panduan ditetapkan

Kejadian runtuhan bukit batu kapur di Merapoh, Lipis baru-baru ini menimbulkan kebimbangan penduduk.
Kejadian runtuhan bukit batu kapur di Merapoh, Lipis baru-baru ini menimbulkan kebimbangan penduduk.
A
A
A

KUANTAN - Sebarang bentuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, perumahan mahupun pertanian di kawasan berhampiran bukit batu kapur perlu merujuk kepada garis panduan yang ditetapkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Ia berikutan bukit batu kapur merupakan kawasan sensitif geologi dan sensitif kepada alam sekitar serta sentiasa terdedah kepada risiko bencana geologi seperti runtuhan tebing dan lubang benam.

Ahli Geologi dan Paleontologi Institut Geologi Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman berkata, antara langkah yang perlu diambil termasuk mewujudkan zon penampan mengikut jarak yang ditetapkan bagi mengelak risiko dan ancaman sekiranya berlaku runtuhan.

Menurutnya, pada masa sama,sebarang aktiviti mendaki dan penerokaan gua serta bukit batu kapur terutama di kawasan baharu sebaiknya perlu dirujuk kepada pihak berkuasa atau ahli geologi untuk khidmat nasihat, panduan dan sebagainya.

“Ia penting bagi memastikan kawasan itu selamat untuk dijalankan aktiviti selain membantu memberi tambah nilai terhadap potensi gua atau bukit batu kapur tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosli berkata, penganjur atau individu yang berhasrat mengadakan aktiviti di mana-mana kawasan bukit batu kapur perlu peka dengan keadaan persekitaran bagi memastikan lokasi terbabit selamat.

“Sebaiknya tinjau dan kena lpasti dahulu kawasan itu sama ada terdapat kesan runtuhan batuan, retakan besar pada dinding tebing atau bahaya-bahaya lain sebelum melakukan sebarang aktiviti di kawasan tersebut.

“Pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu membuat pemantauan terhadap aspek keselamatan kawasan bukit batu kapur yang dibuka bagi tujuan rekreasi sebelum membenarkan sebarang aktiviti di lokasi itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas beberapa kejadian runtuhan tebing batu kapur di Merapoh, Lipis, baru-baru ini Ahmad Rosli berkata, ia mungkin disebabkan faktor semula jadi selain menyifatkan kejadian runtuhan tebing batu kapur sukar dijangka dan ia boleh berlaku disebabkan beberapa punca termasuk faktor semula jadi, aktiviti seismik seperti letupan kuari serta gegaran gempa bumi.

Katanya, struktur batuan longgar dan faktor hujan lebat ditambah dengan keadaan cerun yang curam juga boleh menyebabkan bongkahan batu kapur yang mengalami rekahan gagal bertahan dan runtuh.

“kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya beberapa kejadian pernah dilaporkan dan ada kes melibatkan kemalangan jiwa yang besar.

"Negara kita mempunyai beberapa kawasan bukit batu kapur seperti di Perlis, Merapoh, Gua Musang, Lembah Klang dan Lembah Kinta malah kejadian runtuhan tebing bukit kapur sering berlaku di kawasan tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Rosli berkata, runtuhan batuan paling buruk pernah berlaku di Gunung Cheroh, Ipoh pada 1973 yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa selain runtuhan bukit batu kapur dilaporkan berlaku Gua Musang pada Oktober 2012.

“Walaupun kejadian terbaru di Merapoh baru-baru ini tidak melibatkan kemalangan jiwa namun ia telah menimbulkan kebimbangan penduduk,” katanya.