Lanjutan PKPD di lima kawasan bermula esok: Ismail Sabri

Ismail Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan bagi memantau dan menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19) kepada komuniti setempat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan PKPD bagi lima kawasan tersebut ialah Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah; Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah; Plaza Hentian Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor; Putra Point Nilai, Negeri Sembilan dan Kampung Haji Baki, Kuching, Sarawak.

Ismail Sabri berkata, lanjutan PKPD di kawasan-kawasan yang dinamakan di Lahad Datu, Sabah itu akan bermula esok sehingga 23 November, manakala lanjutan PKPD di Plaza Hentian Kajang, Putra Point Nilai, Negeri Sembilan dan Kampung Haji Baki, Kuching akan bermula esok sehingga 24 November ini.

PKPD di Plaza hentian Kajang dilanjutkan sehingga 24 November ini.
PKPD di Plaza hentian Kajang dilanjutkan sehingga 24 November ini.

Dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini, Ismail Sabri menjelaskan lanjutan di kesemua kawasan tersebut antara lain berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan saringan secara bersasar selain terdapat peningkatan kes positif Covid-19.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan dua PKPD iaitu di Felda Umas, Kalabakan, Sabah serta Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 di Daerah Kuala Langat, Selangor.

Jelasnya, menurut KKM, penamatan PKPD di kawasan tersebut kerana tiada lagi kes baharu Covid-19 dilaporkan selain kes positif juga telah turun dan terkawal. - Bernama

-

Artikel Berkaitan: