Didenda RM1,000 kerana rosakkan telefon bimbit rakan

Penganggur warga Myanmar mengaku salah merosakkan telefon bimbit rakannya.- Gambar hiasan
Penganggur warga Myanmar mengaku salah merosakkan telefon bimbit rakannya.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik rakan sebiliknya, seorang penganggur warga Myanmar didenda RM1,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu terhadap Pa Le, 42, selepas dia mengaku bersalah merosakkan telefon bimbit Chan How Kok, 36, di dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Brunei Utara, Dang Wangi, di sini, pada 11 malam, 27 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Di mahkamah berasingan, seorang eksekutif akaun, Jacqueline Rozario, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamed Fared Abdul Latif atas pertuduhan mencuri wang hasil jualan di tempat kerjanya berjumlah RM55,629.80, milik pusat hiburan Zouk Club (KL) Sdn Bhd, di Jalan Tun Razak di sini antara Disember 2019 hingga Februari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan ikat jamin atas alasan menanggung ibu bapa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: