Bakul makanan sihat waktu PKPB

Cadangan bakul makanan ini boleh bertahan selama seminggu jika penerima bantuan memasak makanan mereka untuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. - Foto 123RF
Cadangan bakul makanan ini boleh bertahan selama seminggu jika penerima bantuan memasak makanan mereka untuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. - Foto 123RF
A
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa buah negeri di Malaysia seperti di Kedah, Sabah, Selangor dan juga beberapa kawasan di Negeri Sembilan bagi mengurangi penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 sejak bulan lalu.

Semalam PKPB dilanjutkan pula hampir di seluruh negara kecuali di Perlis, Pahang dan Kelantan.

Wabak Covid-19 ternyata memberi kesan kepada ekonomi negara terutama sektor pelancongan, peruncitan dan makanan kerana rakyat mula mengawal perbelanjaan mereka dan hanya membeli apabila perlu.

Sudah pasti kini ramai yang mula memasak dan makan di rumah dan pembelian makanan di luar rumah juga semakin berkurangan.

Laporan Survei Khas Kesan Covid-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia semasa PKP yang lalu menunjukkan kebanyakan masyarakat Malaysia membeli bahan makanan untuk dimasak di rumah seperti beras (92.1 peratus), ikan/ayam/daging dan makanan laut (91.5 peratus), telur (87.7 peratus), sayur-sayuran (86.8 peratus) dan bahan ramuan lain seperti bawang, gula, garam dan lain-lain (85.8 peratus).

Ini menunjukkan bahawa makanan asas masih lagi diperlukan rakyat untuk meneruskan kehidupan mereka. Bahan-bahan makanan lain yang turut dibeli adalah seperti minyak masak, makanan kering, roti, tepung, buah-buahan, bahan minuman dan mi segera.

Hasil survei itu juga mendapati makanan yang siap dimasak atau dipesan secara penghantaran hanyalah mencakupi 19.9 peratus.

Semasa PKP yang lalu (Mac-Jun, 2020), pihak kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memberi bantuan bakul makanan secara one-off kepada rakyat yang kehilangan pendapatan dan yang berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang sedia maklum, bantuan bakul makanan ini terdiri daripada makanan kering dan asas sahaja dengan harapan bantuan ini dapat mengurangkan beban rakyat. Selain itu, terdapat juga NGO yang turut sama memberikan bantuan bakul makanan.

Kini, semasa PKPB sedang dilaksanakan, bantuan bakul makanan turut diberikan tetapi ia lebih tertumpu di kawasan yang dianggap kritikal seperti di Sabah.

Persoalannya, adakah bantuan bakul makanan yang diberikan memenuhi keperluan makanan asas komuniti yang terbabit dan adakah ia berkhasiat?

Penyediaan bakul makanan seharusnya bergantung kepada pengambilan makanan yang sering diambil oleh rakyat, harga makanan, kuantiti dan kecukupan nutrien untuk bakul makanan tersebut.

Berikut adalah jenis makanan dan harga makanan yang boleh dijadikan rujukan semasa penyediaan bakul makanan. Harga makanan adalah berbeza mengikut lokasi penempatan komuniti.

Kuantiti makanan adalah untuk keluarga yang terdiri daripada pasangan suami isteri dengan tiga orang anak (dua remaja dan seorang orang kanak-kanak).

Penentuan harga makanan adalah berdasarkan aplikasi Price Catcher yang boleh didapati di laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Cadangan bakul makanan beras 10kg (RM23.99), sardin dua tin besar (RM13.20), Telur 30 biji (RM6.99), ikan bilis 1kg (RM19.59), kangkung/sawi (RM3), bawang besar 2kg (RM5.80) dan bawang putih setengah kg (RM2).

Tidak ketinggalan cili kering setengah kilo (RM6.50), gula 2kg (RM5.70), minyak masak 2kg (RM5), bihun dua pek (RM4.10), tepung gandung 3kg (RM4.05), teh/kopi (RM8.95/RM3.70), susu tepung 1kg (RM19.58) dan susu pekat 2 tin (RM7).

Total harga bakul makanan ini antara RM130.20 hingga RM133.95. Cadangan bakul makanan ini boleh bertahan selama seminggu jika penerima bantuan memasak makanan mereka untuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Ia juga boleh bertahan sehingga seminggu setengah jika penerima bantuan hanya memasak untuk waktu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Oleh yang demikian, pembentukan bakul makanan yang berkhasiat adalah penting bagi memastikan penerima bantuan mendapat jumlah nutrien yang mencukupi sepanjang PKPB ini.

Walaupun harga bagi setiap pek bakul makanan yang diberikan adalah murah dan berpatutan, namun kandungan nutrien di dalam setiap pek bakul makanan tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.

Bakul makanan yang sihat seharusnya dapat meningkatkan lagi kualiti makanan yang disediakan oleh penerima bantuan kepada keluarga mereka.

Dengan adanya contoh bakul makanan ia boleh menjadi rujukan untuk menyediakan bantuan bakul makanan kecemasan pada masa akan datang.

* Dr Shamsul Azahari Zainal Badari ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Bidang kepakaran beliau ialah Pengurusan dan Penilaian Makanan dan Kesihatan Pengguna