Pahang Rangers teruja tunggu pengumuman FAM

Gerard Casas kembali ke Kuantan selepas hampir enam bulan di Sepanyol.
Gerard Casas kembali ke Kuantan selepas hampir enam bulan di Sepanyol.
A
A
A

PAHANG Rangers masih belum boleh merancang program latihan kerana masih belum mendapat gambaran kalendar musim baru Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, menurut pengendalinya, Gerard Casas, beliau ketika ini sudah turun ke gelanggang untuk mengendalikan sesi pemilihan pemain B-21 tahun untuk menyertai Akademi Pahang Rangers pada musim depan.

“Ya, ia mengujakan untuk kembali ke Kuantan selepas hampir enam bulan dan kembali melakukan apa yang saya suka, terlibat dengan pemilihan dan saya dapati Pahang ramai pemain muda berbakat dan berkualiti.

“Sekarang saya sabar menunggu pengumuman daripada FAM sebelum memanggil dan mengumpulkan para pemain untuk sesi latihan.

“Tiada guna kita turun berlatih tanpa mengetahui bila liga akan bermula, jadi ia bergantung kepada kalendar musim baharu dan kemudian merancang mengenai pra-musim, pengambilan pemain import dan sebagainya.

“Tetapi saya faham FAM pastinya perlu mempertimbangkan banyak perkara selain kekangan yang dihadapi disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum membuat satu keputusan. Mereka juga berada dalam satu situasi yang sukar,” kata pengendali dari Sepanyol itu kembali ke Malaysia bulan lalu selepas lebih lima bulan di Sepanyol berikutan PKP.

Rangers yang merupakan naib juara MPFL 2019 dilabel sebagai pasukan pilihan musim 2020 selepas merekrut dua lagi tonggak skuad Harimau Malaya - Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi - menjadikan keseluruhan lapan pemain kebangsaan membawa cabaran pasukan itu.

Malah Rangers membuka tirai MPFL 2020 dengan penuh bergaya setelah menewaskan Sarawak 9-1 di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, saingan liga terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac lalu selepas perlawanan pertama itu berikutan PKP.

Namun pada Jun, FAM mengumumkan MPFL tidak akan disambung dan semua keputusan perlawanan pertama terbatal.

Sebelum ini ada khabar angin bertiup FAM mungkin akan mengawalkan sepak mula MPFL 2021 ke Disember tetapi beberapa pasukan yang terlibat difahamkan belum bersedia terutama dari segi venue dan kewangan disebabkan impak Covid-19.